Pemandu mabuk rempuh maut suami isteri di Jasin


  • 112
  • Isnin, 06 Jun 2022

Motosikal dinaiki pasangan suami isteri maut selepas dilanggar kereta Perodua Myvi di di Jalan Serkam Pantai, Merlimau, di Jasin. — Sinar Harian

SEPASANG suami isteri maut selepas motosikal ditunggangi mereka dirempuh pemandu mabuk di Jalan Serkam Pantai, Merlimau, di Jasin, Melaka awal pagi Isnin.

Dalam kejadian pukul 7.45 pagi, mangsa Ezuddin Mohammad, 50, dan isterinya yang bekerja sebagai operator kilang, Surayah Muhamat, 48, dalam perjalanan dari arah Melaka menuju ke arah Merlimau.

Ketua Jabatan Siasatan Penguatkuasa Trafik (JSPT) negeri, Superintendan Amran@Mohamad Zaki Omar berkata, setiba di lokasi kejadian sebuah kereta Perodua Myvi yang dipandu lelaki berusia 24 tahun dipercayai di bawah pengaruh alkohol hilang kawalan lalu memasuki laluan bertentangan.

Menurut beliau, pemandu yang bekerja operator kilang itu gagal mengelak lalu bertembung dengan motosikal jenis Yamaha Ego Solaris ditunggang pasangan suami isteri itu serta dua lagi motosikal lain sebelum merempuh sebuah rumah.

"Akibat kemalangan tersebut, pasangan suami isteri itu cedera parah di bahagian kepala dan badan. Kedua-dua mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian," katanya ketika dihubungi di Jasin pada Isnin.

Beliau berkata, dua lagi kemalangan melibatkan sebuah motosikal Yamaha Lagenda yang ditunggang seorang warga emas, Ya’akob Mohamad, 57 hingga terbakar.

"Kemalangan itu turut melibatkan sebuah lagi motosikal milik seorang wanita berusia 55 tahun yang parkir di bahu jalan sebelum merempuh sebuah rumah.

"Pemandu kereta dan Ya’akob yang mengalami kecederaan ringan dan telah dihantar ke Hospital Melaka untuk mendapatkan rawatan.

"Manakala penunggang motosikal wanita serta pemilik rumah tidak mengalami sebarang kecederaan.

"Kes disiasat di bawah Sek 41(1) APJ 1987," katanya. — Sinar Harian

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram