Masalah rakyat belum selesai, jangan kerap sangat pilihan raya — Abdul Hadi


  • Politik
  • Isnin, 06 Jun 2022

Abdul Hadi dalam masa sama turut mengakui bahawa Muhyiddin merupakan salah seorang calon Perdana Menteri daripada PN.

KERAJAAN seharusnya diberi peluang untuk mentadbir negara sehingga habis penggal, kata Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang.

Ahli Parlimen Marang itu berkata, tempoh selepas habis penggal tersebut merupakan waktu sesuai untuk diadakan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

“Cadangan kita perlambatkan. Masalah rakyat banyak belum selesai lagi. Jangan kerap sangat pilihan raya.

“Pilihan Raya Negeri (PRN) sudah beberapa kali,” katanya ketika ditemui pemberita di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) pada Isnin.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar sebelum ini dilapor menyatakan bahawa PRU15 wajar ditangguhkan beberapa bulan lagi sehingga fasa peralihan endemik ketika ini berjaya membuktikan tiada gelombang baharu yang serius.

Khairy berkata, banyak faktor perlu diteliti selain gesaan untuk mengadakan PRU15 dalam masa terdekat ini juga bukan desakan rakyat, sebaliknya lebih kepada desakan parti politik.

Sementara itu, Abdul Hadi turut menyatakan bahawa beliau tidak mempunyai maklumat mengenai Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin ada bertemu pembangkang dan membincangkan mengenai keinginannya menjadi Perdana Menteri semula.

“Maklumatnya tidak ada. Biasanya dia maklum,” ujarnya.

Abdul Hadi dalam masa sama turut mengakui bahawa Muhyiddin merupakan salah seorang calon Perdana Menteri daripada PN.

“Beliau salah seorang calon Perdana Menteri (daripada PN),” katanya.

Pada 30 Mei lalu, Presiden Parti Warisan (Warisan), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal mendakwa Muhyiddin telah menghubunginya dua bulan lalu untuk mendapatkan sokongannya menjadi Perdana Menteri semula.

Menurutnya, Muhyiddin memaklumkan bahawa beliau mendapat sokongan 119 ahli Parlimen di Dewan Rakyat yang mempunyai 222 anggota. — Sinar Harian

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram