Muhyiddin nafi, adakah Shafie, Anwar dan Tun M berbohong? — Najib


  • Politik
  • Isnin, 06 Jun 2022

Najib (kiri) mempersoalkan sama ada pemimpin tertinggi pembangkang berbohong, tentang keinginan Muhyiddin (kanan) untuk diangkat menjadi Perdana Menteri kali kedua.

"ADAKAH ini bermakna Datuk Seri Anwar Ibrahim, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berbohong dan memfitnah Muhyiddin, yang didakwa mahu menjatuhkan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk kembali menjadi Perdana Menteri?" soal Datuk Seri Najib Tun Razak.

Demikian respons bekas Perdana Menteri keenam itu, susulan kenyataan Tan Sri Muhyiddin yang menafikan kemungkinan beliau bakal diangkat semula menjadi Perdana Menteri.

Berikutan penafian itu, Ahli Parlimen Pekan itu turut mempersoalkan sama ada Muhyiddin tidak berjaya memperoleh sokongan majoriti yang diperlukan, bagi menyandang jawatan terpenting negara berkenaan.

Najib kemudian mencabar Muhyiddin untuk membuktikan bahawa beliau mendapat sokongan untuk menjadi Perdana Menteri kali kedua.

"Anda mungkin tidak dapat 119 sekarang, tetapi cuba tekan butang," kata Najib, merujuk kepada dakwaan Shafie bahawa Muhyiddin mendapat sokongan 119 Ahli Parlimen di Dewan Rakyat.

"Selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), anda mungkin mempunyai 222," sindir Najib merujuk kepada Parlimen yang mempunyai 222 kerusi.

Pada Ahad, Muhyiddin yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menafikan dakwaan bahawa beliau telah mendapat sokongan majoriti Ahli Parlimen untuk dilantik semula sebagai Perdana Menteri.

Bekas Perdana Menteri itu berkata, beliau tidak pernah memberitahu atau mengesahkan kepada sesiapa bahawa beliau telah mendapat sokongan majoriti ahli Parlimen.

"Apa yang dibincangkan dalam siri pertemuan saya dengan beberapa pimpinan parti-parti politik selain Barisan Nasional (BN) adalah untuk merintis persefahaman bagi menghadapi PRU15.

"Perkara ini dibincangkan secara tidak rasmi apabila terdapat beberapa ahli politik dari parti-parti pembangkang yang menemui saya selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor," katanya.

Pada 30 Mei lalu, Shafie Apdal yang juga Presiden Parti Warisan Malaysia (Warisan) mendakwa, Muhyiddin menghubunginya dua bulan lalu bagi mendapatkan sokongan untuk menjadi Perdana Menteri semula. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram