Suami isteri maut motosikal rempuh papan tanda di Banting


  • 112
  • Isnin, 06 Jun 2022

Keadaan motosikal dinaiki suami isteri yang terbabas dan merempuh papan tanda di bahu jalan pada Ahad. — Sinar Harian

SEPASANG suami isteri maut selepas motosikal dinaiki terbabas di kilometer (km) 11.5 Jalan Banting - Dengkil di Banting, Selangor pada Ahad.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Ahmad Ridhwan Mohd Nor berkata, siasatan awal mendapati, kejadian kira-kira pukul 6.05 pagi itu berlaku apabila motosikal jenis Yamaha 135LC yang dinaiki dari arah Dengkil menghala ke Banting dipercayai hilang kawalan.

"Apabila sampai di tempat kejadian dipercayai penunggang motosikal hilang kawalan lalu terbabas ke kiri jalan dan melanggar papan tanda amaran yang berada di bahu kiri jalan (arah ke Banting).

"Penunggang motosikal iaitu lelaki berumur 21 tahun manakala pembonceng wanita berusia 16 tahun telah meninggal dunia di tempat kejadian," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Beliau berkata, mayat suami isteri itu telah dibawa ke Hospital Banting untuk bedah siasat.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

"Saksi bebas yang melihat kemalangan atau yang mempunyai maklumat mengenai kejadian kemalangan itu diminta menghubungi mana-mana balai polis yang berhampiran atau menghubungi Pegawai Penyiasat kes, Inspektor Fatin Husna Khairuzzaman di talian 017-3012621 atau 03-31872222," ujarnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram