Tiga tahun bersembunyi, penjenayah 'hati tisu' akhirnya mengalah kerana rindu keluarga


  • Benua
  • Isnin, 06 Jun 2022

Suspek mengakui pulang ke rumah selepas bersembunyi selama tiga tahun kerana rindukan keluarga.

SEORANG penjenayah yang menjadi buruan kerana terlibat dengan kes jenayah akhirnya ditangkap di rumahnya kerana rindu keluarga selepas tiga tahun melarikan diri.

Suspek, Holmes Simbolon sebelum itu terlibat dengan kes rompakan bersenjata dan cabul bersama lima yang lain di Desa Kuala Bangsa, Labuhanbatu, Sumatera Utara, Indonesia pada 17 Jun 2019.

Ketua Polis Labuhanbatu, Anhar Arlia Rangkuti berkata, dia sendiri tidak menjangka yang suspek akhirnya pulang ke rumah kerana rindukan keluarga.

"Kita menahan suspek di rumahnya di Desa Sei Buluh, Labuhanbatu pada Rabu dan dia mengakui kembali kerana rindukan keluarganya.

"Suspek sebelum itu selama tiga tahun menyembunyikan dirinya di dalam hutan dan hanya hidup dengan memburu haiwan liar.

"Selama tiga tahun itu juga kita memantau rumah suspek sebelum menangkapnya ketika dia pulang ke rumah," katanya.

Menurut Anhar, suspek sebelum ini bersama empat orang rakannya telah melakukan rompakan di sebuah rumah pada 2019.

Berada di dalam rumah ketika rompakan berlaku ialah seorang wanita bersama tiga anak perempuannya.

Tidak hanya merompak, suspek juga mencabul dua gadis yang berada di dalam rumah tersebut.

"Di dalam kes ini, dua suspek lain sudah ditangkap sebelum ini dan Holmes adalah suspek ketiga. Kita juga sedang memburu dua lagi suspek yang lain," katanya. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram