Terasa kehilangan Badd dan Rizal, tapi Suk-won bukan punca krisis


  • Podium
  • Sabtu, 04 Jun 2022

Ariff berkata, pasukannya menghormati keputusan dibuat oleh Baddrol dan Rizal, meskipun mengakui sedikit sedih melihat mereka pergi ke Sabah. — MFL

KRISIS di bahagian pertahanan dalam Kedah Darul Aman (KDA) FC masih belum berakhir, meskipun kelab tersebut telah melepaskan pemain import dari Korea Selatan, Jang Suk-won.

Pertahanan kiri Kedah, Ariff Farhan Md Isa menegaskan, tidak wajar untuk mengatakan kelemahan pertahanan Kedah berpunca dari Suk-won, sebaliknya masalah itu perlu dipikul bersama.

"Macam saya pun ada buat kesilapan dan empat orang yang berada di bahagian pertahanan harus bertindak sebagai satu unit.

"Harap kemasukan tonggak import baharu yang gantikan Jang akan berikan kelainan kepada barisan pertahanan agar lebih stabil untuk harungi baki perlawanan selepas ini.

"Tempoh rehat yang panjang diharapkan mampu mencorakkan sesuatu yang positif dan kami tidak mahu lagi ulangi kesilapan serta kelemahan yang sama," katanya kepada MFL.

Pada masa sama, pemain berusia 26 tahun itu mengharapkan akan ada perubahan dengan kemasukan pertahanan import baharu, bagi menggantikan Suk-won pada pintu perpindahan kedua pemain.

Prestasi Kedah di bahagian pertahanan menjadi kritikan sebahagian besar penyokong, biarpun membariskan dua pertahanan tengah import, Marc Vales selain Suk-won yang telah dilepaskan pada 28 Mei lalu.

Kedah setakat ini telah bolos sebanyak 17 kali dalam sembilan perlawanan dan ia merupakan jumlah bolos yang tertinggi bersama Sarawak United FC di Liga Super.

Dalam pada itu, Ariff mengakui Kedah masih terasa dengan ketiadaan dua tonggak senior musim lalu, Baddrol Bakhtiar dan Rizal Ghazali yang memilih ke Sabah FC.

Situasi itu sedikit sebanyak memberikan kesan kepada Kedah yang tampak kurang menyengat di Liga Super, namun Ariff Farhan optimis secara perlahan-lahan mereka mampu bangkit bagi menghadapi baki saingan Liga Malaysia 2022.

"Kami sebenarnya masih dalam proses menerima ketiadaan Baddrol dan Rizal, dua pemain senior yang cukup berpengaruh kepada pasukan.

"Memang masih terasa ketiadaan mereka yang sentiasa menjadi ketua kami serta dihormati di atas padang.

"Kami hormat keputusan yang dibuat oleh Baddrol serta Rizal walaupun akui sedikit sedih melihat mereka pergi ke Sabah.

"Saya dan pemain akan cuba meneruskan perjuangan pada musim ini walaupun ada perbezaan selepas ketiadaan Baddrol dan Rizal," katanya. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram