Kedah sudah jumpa pengganti Suk-won


  • Podium
  • Jumaat, 03 Jun 2022

Ura-ura mengatakan Akmal Zahir bakal berpindah ke KDA FC. — Gambar hiasan

PEMAIN Melaka United FC (MUFC), Mohd Akmal Zahir bakal mengubah haluan apabila dilaporkan akan menyertai pasukan lain ketika musim perpindahan kedua Liga Malaysia (Liga-M).

Spekulasi itu semakin rancak apabila dia difahamkan akan menyertai Kedah Darul Aman FC (KDA FC) bagi memperkuat benteng pertahanan skuad Kenari.

Akmal sebelum ini pernah mendapat tawaran daripada KDA FC ketika jendela perpindahan pertama musim ini, namun memilih untuk kekal bersama MUFC atas faktor keluarga.

Di bawah kendalian Risto Vidakovic, Akmal menjadi pilihan kesebelasan utama di bahagian bek tengah, bergandingan dengan Fadhli Shas.

Selain beraksi di bahagian bek tengah, pemain kelahiran Alor Setar itu juga boleh bermain di posisi bek kanan.

Pemain berusia 28 tahun itu beraksi dalam empat penampilan Liga Super musim ini, sebelum tempatnya digantikan oleh pemain import dari Filipina, Justin Baas.

Selain itu, Akmal juga beraksi sepenuh masa dalam dua perlawanan Piala FA untuk membantu Melaka United melayakkan diri ke pusingan seterusnya.

Sekiranya perpindahan itu direalisasikan, Akmal akan beraksi bersama pasukan dari negeri kelahirannya.

Akmal berkemungkinan akan bergandingan dengan Rodney Calvin, sekali gus menggantikan Jang Suk-won yang bersetuju meninggalkan kelab itu atas persetujuan bersama pada minggu lepas.

Pemain itu menyertai MUFC pada 2020 dan pernah menyarung jersi UKM FC selama dua musim.

Kedah bergelut dengan prestasi tidak menentu pada musim ini terutamanya di bahagian pertahananan dengan menyaksikan skuad kendalian Aidil Sharin Sahak itu menjadi pasukan Liga Super paling banyak bolos, sama seperti Sarawak United, dengan 17 gol walaupun menduduki tangga keempat liga.

Perkembangan itu sekali gus menunjukkan bahagian bek Kedah perlu diperbaiki menjelang aksi timbal balik Liga Super pada 19 Jun ini apabila Sang Kenari bakal melayan kunjungan pendahulu liga, Johor Darul Takzim. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram