Baik, buruknya kepulangan Syafiq Ahmad ke JDT


  • Podium
  • Selasa, 31 Mei 2022

Syafiq (kiri) kini perlu membuktikan kemampuannya kepada Mora.

MEMANG bukan lagi rahsia bahawa statistik menunjukkan Syafiq Ahmad mempunyai minit perlawanan yang lebih tinggi bersama Kedah Darul Aman (KDA) FC berbanding Johor Darul Takzim (JDT).

Tapi itu tidak bermakna bakat penyerang Harimau Malaya itu disia-siakan sepanjang bersama skuad Harimau Selatan.

Sepanjang empat musim bersama JDT, Syafiq terlibat dalam 32 perlawanan bagi semua pertandingan dengan minit permainan sebanyak 1,291 minit.

Secara keseluruhannya juga, pemain berusia 26 tahun itu menyumbat enam gol dan satu bantuan gol bersama JDT.

Berbeza di Kedah termasuk tempoh pinjaman musim ini, Syafiq hanya bermain sebanyak 24 perlawanan selama dua musim setengah.

Tetapi dia sudah menjaringkan tujuh gol dan lapan bantuan gol sepanjang beraksi bersama Kedah dengan jumlah minit permainan sebanyak 1,503 minit.

JDT_Statistik

Statitik Syafiq bersama JDT.

Dari segi purata minit permainan, memang Kedah adalah tempat yang lebih baik buat Syafiq tetapi dari segi pengalaman, JDT memberi peluang kepadanya beraksi ke peringkat yang lebih tinggi seperti kejohanan Piala Konfederasi Asia (AFC) dan Liga Juara-Juara AFC.

Perkara itu diakui oleh bekas jurulatihnya ketika bersama di Kedah, Ramon Marcote yang menyifatkan kepulangan Syafiq ke Sang Kenari pada awal musim ini memberi manfaat kepada kedua-dua pihak.

Katanya, di pihak Kedah, mereka boleh menyelamatkan karier penyerang berbakat tempatan itu selain Syafiq boleh mengambil peluang untuk menikmati minit perlawanan yang lebih banyak pada musim ini.

Namun kata Ramon, kepulangan Syafiq ke JDT bakal melemahkan Kedah kerana kehilangan pemain tempatan penting dan pemain kelahiran Pulau Pinang itu mungkin berdepan detik sukar mencapai minit permainan di JDT.

"Ini akan menjadi cabaran buat Syafiq untuk meyakinkan ketua jurulatih JDT, Benjamin Mora bahawa dia boleh menyumbang untuk kejayaan pasukan.

"Saya tidak tahu apa sebab sebenar JDT panggil pulang Syafiq, mungkin mereka rasa Syafiq boleh menyumbang dengan cara tersendiri dalam empat pertandingan yang perlu JDT harungi musim ini," katanya kepada Majoriti.

Statistik_Kedah

Statistik Syafiq bersama Kedah

Ramon tidak menolak kemungkinan bahawa JDT merasakan prestasi Syafiq di Kedah menurun sedikit dan mereka mahukannya semula.

"JDT mahu berikannya keadaan latihan yang terbaik dan mengekalkan tahap tertingginya serta mahukannya menyumbang kepada pasukan.

"Saya tidak pasti, hanya mereka yang terlibat saja tahu sebabnya. Harapan saya agar Syafiq gembira dengan keputusan ini.

"Dengan harapan JDT dapat membantunya meraih kegembiraan itu dan Kedah akan menjadi pengganti terbaik buat Syafiq bagi memulihkan semula reputasi pasukan utara itu.

"Penyokong Kedah layak untuk mendapat yang terbaik kerana mereka sering memberi sokongan tidak berbelah-bahagi," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram