‘Kena tackle pun jelir lidah’ — Aksi nakal Akhyar Rashid curi tumpuan


  • Podium
  • Rabu, 01 Jun 2022

Tangkap layar aksi Akhyar menjelir lidah sebaik dijatuhkan dalam kotak penalti dilihat mencuri tumpuan ramai ketika bertemu Hong Kong malam tadi.

MESKIPUN dijatuhkan pihak lawan ketika menewaskan Hong Kong 2-0 dalam perlawanan persahabatan antarabangsa di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Rabu, namun aksi bintang Harimau Malaya, Akhyar Rashid menjelirkan lidah sebaik pengadil memberikan sepakan penalti dilihat mencuri tumpuan di laman sosial.

Rata-rata peminat bola sepak tanah air geli hati melihat Akhyar yang sempat menjelir lidah ke arah rakan-rakan sepasukannya sebaik dijatuhkan pemain pertahanan Hong Kong pada babak pertama.

Sepakan penalti itu berjaya disempurnakan rakan sepasukan Akhyar di Johor Darul Takzim (JDT), Safawi Rasid.

Tanjung Tokong berkata: "Sakit sampai terkeluar lidah, amat-amat dahsyat sakitnya."

Masran Asiman menulis: "Nanti kat Liga Malaysia jangan percaya kalau dia jatuh penalti. Dia pura-pura tu. Haha."

Balas Asyraf Rojali: "Sebab jelir lidah la ref (pengadil) tak bagi penalti kedua."

"Nakal Mat Yat (nama panggilan Akhyar)," tulis Pak Leman & Mak Tijah pula.

Selain jaringan menerusi sepakan penalti Safawi pada minit ke-31 itu, Harimau Malaya turut berjaya menggandakan kelebihan menerusi sepakan percuma Safiq Rahim pada penghujung babak kedua, sekali gus menjadi pemisah buat kedua-dua pasukan sehingga wisel penamat ditiupkan pengadil.

Sebelum menewaskan Hong Kong, anak-anak buah Kim Pan-gon juga berjaya menewaskan Brunei 4-0 dalam satu lagi aksi persahabatan antarabangsa di venue yang sama pada Jumaat minggu lepas.

Perlawanan menentang Hong Kong merupakan aksi pemanas badan terakhir sebelum Malaysia memulakan cabaran kempen Kelayakan Piala Asia 2023 berdepan Turkmenistan pada 8 Jun, Bahrain (11 Jun) dan Bangladesh (14 Jun) dalam saingan Kumpulan E. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram