'Habiskan beras' ambil pemain naturalisasi, jatuhkan moral pemain tempatan — Legenda bola sepak


  • Podium
  • Rabu, 01 Jun 2022

Dominasi pemain naturalisasi dan warisan dalam skuad kebangsaan dikatakan menjatuhkan moral pemain tempatan untuk beraksi lebih cemerlang.

"KITA dah patut menghentikan ambil pemain naturalisasi atau warisan. Pemain yang kita ambil pun tak berkualiti."

Itu yang ditegaskan legenda bola sepak negara, Datuk Jamal Nasir berkenaan dengan keberadaan pemain naturalisasi dan warisan dalam skuad kebangsaan yang dilihat tidak memberi impak positif.

Menurut Jamal, beberapa pemain naturalisasi yang gagal dalam skuad kebangsaan antaranya Guilherme De Paula, Liridon Krasniqi dan Mohamadou Sumareh.

"Kesemua pemain ini tiada kualiti dan dan tahap kemampuan mereka hampir sama sahaja dengan pemain tempatan. Buat rugi duit sahaja ambil mereka.

WhatsApp Image 2022-06-01 at 1.26.41 PM

Legenda bola sepak negara, Datuk Jamal Nasir mahu pengambilan pemain naturalisasi negara dihentikan.

"Sebenarnya kaedah ambil pemain naturalisasi ini kita patutnya gunakan dalam tempoh sekejap sahaja. Kalau nak ambil pun, kena cari yang betul-betul bagus.

"Ini main masuk sahaja dengan senang. Entah apa penilaian yang digunakan pun kita tidak tahu. Hasilnya bila main pun entah apa-apa. Menghabiskan beras sahaja," katanya kepada Majoriti.

Menurut Jamal Nasir, pengambilan naturalisasi sebenarnya hanya akan membuatkan pemain tempatan tiada moral untuk beraksi dengan cemerlang.

Jelasnya, apa yang perlu dilakukan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) adalah memberikan pendedahan yang lebih kepada pemain tempatan.

"Kita memang kena bangunkan pemain muda untuk mendapatkan hasil bagi mewakili skuad kebangsaan tetapi kena ada cara yang betul.

Mat-Don

Liridon Krasniqi antara pemain naturalisasi yang disifatkan gagal memberi aksi terbaik.

"Antarnya adalah dengan memberi pendedahan kepada mereka untuk beraksi di liga luar negara. Sesiapa yang dirasakan ada kualiti, hantar beraksi di luar negara.

"FAM kena jalin kerjasama dengan kelab luar dan taja pemain itu untuk beraksi dengan kelab tersebut. Kalau dapat hantar satu team bermain dalam liga luar negara lagi bagus," katanya.

Terdahulu, seorang seorang warganet menyenaraikan pemain-pemain naturalisasi dan warisan yang beraksi dalam skuad kebangsaan.

Menerusi status tersebut, hampir semua posisi dalam skuad kebangsaan mempunyai pemain naturalisasi serta warisan sebaliknya hanya penjaga gol yang diwakili pemain tempatan iaitu Farizal Marlias.

Perkara itu dilihat merisaukan dan boleh memberi kesan kepada peluang pemain tempatan untuk digilap bagi beraksi bersama Harimau Malaya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram