Mat motor belasah warga emas mengaku tidak bersalah


Muhammad Zulkifli (kanan) dibawa ke Mahkamah Majistret Shah Alam pada Khamis atas pertuduhan mencederakan seorang warga emas, Ahad lalu.

SEORANG penunggang motosikal mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Shah Alam, Selangor pada Khamis atas satu pertuduhan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap seorang warga emas, Ahad lalu.

Muhammad Zulkifli Che Su, 24, yang bekerja sebagai juruteknik sebuah syarikat automatif membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibaca di hadapan Majistret Muhammad Syafiq Sulaiman.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa melakukan kesalahan itu terhadap Zainol Din Hussein, 61, di Jalan Padang Jawa di Shah Alam, pada pukul 12 tengah hari, 22 Mei lalu.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga setahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya Erneetha Kaur mencadangkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM6,000 dengan seorang penjamin serta memenuhi syarat tambahan iaitu tidak mengganggu mangsa.

Bagaimanapun peguam, Abi Mursyidin Awal yang mewakili tertuduh, merayu agar anak guamnya dikenakan ikat jamin pada kadar rendah.

"Dia hanya bekerja sebagai mekanik dan perlu menanggung ibu bapanya di kampung.

"Mangsa yang terlibat dalam kes ini, merupakan seorang yang berpengaruh di kawasan kejiranan, maka mustahil untuk kembali ke tempat itu serta bukan sesuatu yang mudah untuk mendekati mangsa," katanya. — Sinar Harian

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram