Park Hang-seo lantang dan tegas, patut jadi pengarah teknikal FAM


  • Podium
  • Jumaat, 27 Mei 2022

Sebahagian daripada pemain bawah 23 kebangsaan sedang menjalani latihan untuk Piala Asia B-23.

KISAH Park Hang-seo bersama skuad Vietnam bukan sekadar berjaya mempertahankan emas dalam bola sepak di Sukan SEA 2021 baru-baru ini, tetapi juga ketegasan Hang Seo.

Hang-seo telah membawa banyak perubahan dalam pasukan Vietnam terutamanya dalam skuad bawah 23 (B23) sejak beberapa tahun yang lalu.

Malah, Hang-seo juga antara individu yang cukup tegas mengkritik pasukannya sendiri terutamanya bila ditanya berkenaan dengan kemampuan pasukan Vietnam untuk beraksi di Piala Dunia.

Itu yang diperkatanya dalam satu wawancara pada tahun lalu apabila Hang-seo secara terbuka berkata bahawa Vietnam masih belum mampu untuk beraksi di Piala Dunia dan memerlukan perancangan yang lebih panjang dan menyeluruh.

Atas ketegasan dan kecemerlangan Hang-seo, nama bekas pemain bola sepak Korea Selatan itu menjadi bualan peminat bola sepak Malaysia yang mahu dia memegang jawatan Pengarah Teknikal Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Ketika ini, jawatan tersebut dipegang oleh Scott O'Donell yang dilantik pada awal tahun ini selepas Datuk Ong Kim Swee melepaskan kerusi itu pada tahun lalu.

Meskipun impian peminat bola sepak tempatan mahu melihat ketegasan dan kelantangan Hang-seo dalam kancah bola sepak negara, namun rata-rata mereka sudah tahu nasib yang akan diterima ketua jurulatih Vietnam itu jika ke sini.

Peminat menggambarkan nasib Hang-seo bakal menjadi seperti Bojan Hodak yang juga diketahui umum lantang mengkritik pentadbiran FAM.

Seorang penyokong bola sepak tempatan, Ojan Jarn berkata, Hodak yang pernah menjadi Ketua Jurulatih Skuad B19 ditamatkan kontrak selepas mengkritik sistem liga pemain muda.

"Hodak pernah mengutuk sistem liga pemain muda dan terus tidak disambungkan kontrak. Sudah-sudahlah jenis nak dia sahaja betul. Susahlah pengurusan macam itu," katanya.

bojan-hodak

Bojan Hodak antara yang pernah mengkritik sistem liga pemain muda tempatan.

Sementara itu, Azlan Mira berkata, FAM perlu lebih realistik dalam meletakkan sasaran pencapaian untuk skuad kebangsaan.

Jelasnya, Vietnam boleh meletakkan sasaran yang sedikit tinggi berdasarkan kepada kemampuan skuad senior dan muda mereka sedangkan Malaysia nak mencapai tahap Vietnam pun agak susah.

"FAM masih membuta tuli letak sasaran Malaysia layak Piala Dunia tahun sekian-sekian," katanya.

Selain itu, FAM juga perlu lebih terbuka untuk menerima kritikan untuk meningkatkan kualiti dan kemampuan setiap pemain, kata Muhd Arif Fahmi.

Untuk rekod, antara pertandingan yang bakal disertai skuad kebangsaan pelbagai lapisan usia pada tahun ini adalah Kejuaraan B-23 AFF, Sukan SEA Vietnam, Sukan Asia Hangzhou, Piala Asia B-23 dan Kelayakan Piala Asia 2023.

Kesemua perlawanan ini akan menjadi tumpuan pengikut bola sepak tempatan untuk melihat kemampuan terkini skuad bola sepak negara. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram