Luqman Hakim enggan mengaku kalah, ikrar perbaiki skil


  • Podium
  • Khamis, 26 Mei 2022

Luqman Hakim tidak mengaku kalah dan akan terus menampilkan aksi terbaiknya pada Kejohanan Piala Asia B-23 2022.

PENYERANG muda negara, Luqman Hakim Shamsudin bertekad untuk memperbaiki teknik penyudah bagi membantu Skuad Bawah 23 Tahun (B-23) kebangsaan di Kejohanan Piala Asia B-23 2022 di Uzbekistan pada 1 hingga 19 Jun ini.

Pemain berusia 20 tahun itu berkata, beliau tidak mudah mengaku kalah dan akan terus menampilkan aksi terbaiknya pada kejohanan berkenaan serta sedia menerima segala kritikan atau tohmahan daripada peminat bola sepak negara terhadap aksinya sebelum ini.

"Saya akan cuba memperbaiki dari segi teknikal penyudah yang masih perlu diperkemas lagi kerana saya yakin setiap orang ada kelemahan tersendiri.

"Masih banyak perlu dipelajari bagi menjadi seorang pemain berkualiti oleh itu, saya terima segala kritikan daripada peminat bola tempatan untuk terus memperbaiki diri,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Padang Majlis Sukan Negara (MSN) Bukit Jalil, di Kuala Lumpur pada Khamis.

Pada 23 Mei lepas, Luqman Hakim dan Muhammad Hadi Fayyadh Abdul Razak yang masuk sebagai pemain gantian pada babak kedua perlawanan pada temasya Sukan SEA ke-31, menjadi dua pemain yang gagal menjaringkan penalti, menyaksikan pasukan negara tewas 3-4 sekali gus pulang tanpa sebarang pingat.

harimau muda

Luqman Hakim yakin Harimau Muda boleh menyesuaikan diri walaupun terpaksa menghadapi keadaan cuaca lebih sejuk pada kejohanan Piala Asia B-23 di Uzbekistan.

Luqman Hakim yang berpangkalan di Belgium bersama kelab KV Kortrijk berkata, beliau yakin semua pemain dapat menyesuaikan diri walaupun terpaksa menghadapi keadaan cuaca lebih sejuk kerana pernah beraksi di Piala Asia B-23 di Mongolia, tahun lepas.

Sementara itu, kapten skuad B-23 kebangsaan, Muhammad Mukhairi Ajmal Mahadi yakin rakan sepasukan akan melakukan yang terbaik dan mengharapkan sokongan berterusan daripada peminat bola sepak tempatan.

"Saya rasa setakat in, pemain dalam keadaan baik kerana jurulatih bagi cuti sehari untuk meluangkan masa dengan keluarga. Itu antara pembakar semangat kami untuk terus melakukan yang terbaik,” katanya.

Sementara itu, ketua jurulatih pasukan B-23 kebangsaan Brad Maloney percaya dengan keupayaan anak buahnya untuk mencipta kejayaan pada kejohanan Piala Asia B-23 di Uzbekistan.

Jurulatih dari Australia itu berkata, pengalaman mengharungi enam perlawanan di temasya Sukan SEA baru-baru ini amat berguna untuk menghadapi keadaan lebih mencabar di Uzbekistan dan yakin dengan komitmen dan semangat dimiliki pemain dapat membantu mencapai keputusan lebih baik.

Skuad Bawah B-23 berdepan tugas berat pada kempen Piala Asia B-23 apabila diundi dalam Kumpulan C bersama juara bertahan Korea Selatan, naib juara edisi 2018 Vietnam dan Thailand. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram