'Tak sempat nak bercakap,' pemain Harimau Malaya akui penangan latihan keras KPG


  • Podium
  • Khamis, 26 Mei 2022

Pan-gon menerapkan informasi dan formasi baharu buat pasukan kebangsaan. — Facebook FAM

KEHADIRAN ketua jurulatih baharu Harimau Malaya, Kim Pan-gon jelas membawa perubahan yang cukup signifikan dalam usaha mengembalikan semula kegemilangan pasukan kebangsaan.

Hal ini juga diakui oleh para pemain sambil mengakui latihan yang diterapkan oleh jurulatih yang berasal dari Korea Selatan ini membuatkan pemain sehingga tidak sempat untuk bercakap.

Pan-gon juga dikenali sering melakukan latihan berintesiti tinggi supaya pemain-pemain kebangsaan dapat bersiap sedia dalam apa jua perlawanan yang bakal ditempuhi pasukan Malaysia nanti.

KG 3

Pan-gon jelas membawa perubahan yang cukup signifikan dalam usaha mengembalikan semula kegemilangan pasukan kebangsaan. — Facebook FAM

Pada pusingan kelayakan Piala Asia 2023 nanti, Pan-gon telah menerapkan formasi dan latihan yang lebih berintestiti tinggi sehingga menyebabkan pemain-pemain kebangsaan sedikit keletihan dari segi fizikal.

Pada sidang media perlawanan Malaysia bertemu Brunei, pemain tengah kebangsaan Syamer Kutty Abba berkata, cara latihan baharu yang diterapkan oleh Pan-gon memerlukan kekuatan fizikal dan mental.

"Walaupun sedikit letih dari segi fizikal dan mental, tetapi banyak perkara baharu yang kami belajar dan itu bagus untuk pemain-pemain pasukan kebangsaan dan kami ambil ini sebagai 'learning process'.

"Untuk persiapan kali ini, jurulatih telah menerapkan formasi baharu dan kami juga telah menerima segala arahan dan informasi daripada 'coach Kim' dengan sangat baik," katanya.

Syamer Kutty

Cara latihan baharu yang diterapkan oleh Pan-gon memerlukan kekuatan fizikal dan mental bagi pemain kebangsaan. — Facebook FAM

Dalam perkembangan sama, Pan-gon menjawab persoalan sama ada pemain warisan atau tempatan yang sedang beraksi di luar negara akan mendapat tempat di dalam skuad kebangsaan.

"Perkara itu akan terjadi di masa akan datang, kerana untuk memantau pemain yang mempunyai hubungan dengan negara ini agak sukar dalam waktu masa yang begitu singkat.

"Pasukan kejurulatihan saya sekarang ini lebih fokus kepada pemain-pemain yang bermain di dalam saingan liga dan pemain yang beraksi di luar negara semestinya mempunyai peluang tetapi buat masa ini fokus kami ialah ingin membentuk pasukan kebangsaan yang sangat kuat," ujarnya.

Skuad Harimau Malaya akan menghadapi pasukan ke-89 dunia Bahrain dan Turkmenistan (134) bagi menamatkan penantian 42 tahun untuk layak ke Piala Asia secara merit.

Malaysia yang kini menduduki tangga ke-154 dunia diundi dalam Kumpulan E, yang turut disertai Bangladesh (186) dan skuad kebangsaan mempunyai sedikit kelebihan sebagai tuan rumah, akan memulakan kempen sesi kelayakan itu di SNBJ bertemu Turkmenistan pada 8 Jun. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram