'Mulut celupar' punca JDT panggil pulang Syafiq Ahmad?


  • Podium
  • Jumaat, 20 Mei 2022

Syafiq Ahmad yang bermain untuk JDT dipinjamkan ke KDA FC selama setahun bagi musim 2022.

TONGGAK pasukan Kedah Darul Aman FC (KDA FC), Syafiq Ahmad dipanggil semula ke Kelab Bolasepak Johor Darul Takzim (JDT) meskipun tempoh pinjamannya ke skuad Hijau Kuning belum cukup setahun.

Berita itu dikongsikan oleh Facebook JOHOR Southern Tigers menerusi satu hantaran pada Jumaat.

"Selamat kembali Syafiq Ahmad! Kelab Bolasepak JDT akan memanggil semula Syafiq Ahmad daripada pinjamannya di KDA FC.

"Beliau akan menyertai semula skuad JDT selepas tamat cuti antarabangsa," tulisnya.

282034212_10166438857430444_2906960581181091162_n

Tangkap layar hantaran status Facebook JOHOR Southern Tigers.

Sementara itu, kelab Facebook Penyokong Setia Hijau Kuning turut memuat naik hantaran sama yang mengesahkan perpindahan Syafiq Ahmad ke skuad JDT.

"Terima Kasih SA (Syafiq Ahmad)... Plan asal loan untuk bagi main Piala AFC, tapi dipanggil balik awai... Biar jasa jadi kenangan," katanya.

Perpindahan semula bintang Kedah itu ke skuad Harimau Selatan menimbulkan tanda tanya dalam kalangan peminat memandangkan tempoh pinjamannya ke skuad Sang Kenari belum genap setahun.

sa kedah

Tangkap layar hantaran status kelab Facebook Penyokong Setia Hijau Kuning.

Rata-rata penyokong merasakan Syafiq Ahmad menjadi mangsa keadaan perbalahan antara Presiden Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA), Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor dengan pemilik skuad JDT, Tengku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

Sanusi terdahulu telah mengeluarkan satu kenyataan bahawa sukan bola sepak untuk semua dan bukannya individu tertentu sehinggakan ada yang perlu menyembah ‘tokong’.

Beliau yang juga Menteri Besar Kedah turut memberikan contoh kepada kenyataannya itu iaitu ketika kejadian 'luar biasa' yang berlaku apabila pengadil memberikan tambahan masa 10 minit sewaktu JDT menentang Negeri Sembilan FC di Paroi, Negeri Sembilan.

Kenyataan Muhammad Sanusi pada sebuah akhbar itu mendapat perhatian dari warganet dan mereka berpendapat daripada beliau berbasa basi mendakwa isu menyembah tokong dalam bola sepak tempatan, adalah lebih elok Menteri Besar Kedah tersebut melaporkan kepada Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).

SA

Tangkap layar sebahagian reaksi penyokong Kedah terhadap perpindahan semula Syafiq Ahmad ke JDT. — Facebook

Seorang penyokong, Chairulanwar Yeet's turut berpendapat apa yang terjadi kepada Syafiq Ahmad adalah berikutan kenyataan Sanusi yang berani bersuara terhadap isu berkenaan.

"Nampak sangat JDT ni terlebih koyak. Memang betoi la apa MB kata, saya rasa bukan MB Kedah ja nampak...rasanya semua negeri yang nampak tapi tak berani bersuara, hanya MB Sanusi yang berani bersuara. Faham-fahamlah maksud saya. Apa-apa pun terbaiklah MB Sanusi kerana berani bersuara," tulisnya di ruangan komen.

"Tokong mulut celupaq (celupar) sangat, last sekali tok sami depa ambik balik," tulis Zawawi Awang Abdullah.

Untuk rekod, Syafiq Ahmad bermain untuk KDA FC secara pinjaman selama setahun bagi musim 2022.

Perpindahan penyerang skuad Lang Merah itu turut mendapat restu pemilik pasukan skuad Harimau Selatan, Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

Sebagai rekod, Syafiq memulakan karier peringkat remaja bersama SMK Tunku Anum sebelum diserap masuk ke skuad Piala Presiden Kedah selepas tamat pengajian pada musim 2013.

Dia kemudiannya menyertai JDT pada 2018 dan berjaya menjuarai beberapa kejohanan tempatan selain turut beraksi dalam saingan Liga Juara-Juara Asia (ACL). — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram