"MENYAMAKAN seseorang individu dengan muslim lain seperti 'tokong' adalah sangat tidak wajar".
Itu pandangan daripada bekas pemain kebangsaan, Hairuddin Omar, berkenaan dengan kenyataan Presiden Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA), Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor yang menyatakan bahawa bola sepak adalah sukan untuk semua dan bukannya individu, sehingga menyebabkan ada yang perlu menyembah 'tokong'.
Menurut Hairuddin, sebagai individu yang terlibat secara langsung dalam bola sepak tempatan, dia lebih suka mengambil pendekatan dari sudut yang positif.
"Sampai bila kita nak menipu diri sendiri dan menyebarkan yang bukan-bukan mengenai bola sepak Malaysia untuk menutup keaiban sendiri?
"Cukup la memberi alasan dan mencari kesalahan orang lain. Kita harus melihat diri sendiri dan memperbaiki diri sendiri untuk majukan kelab masing-masing. Barulah, kita boleh memajukan bola sepak negara," katanya.
Aksi pemain JDT ketika menewaskan NSFC dalam tempoh masa kecederaan selama 10 minit yang menjadi kontroversi sebelum ini.
Hairuddin yang juga Penolong Jurulatih Terengganu FC (TFC) berkata, negara sudah mempunyai pasukan Johor Darul Takzim (JDT) sebagai kayu ukur dalam arena bola sepak.
Malah ujarnya, kejayaan kelab itu adalah hasil usaha mereka dalam memperbaiki kelab daripada segi fasiliti, padang, pengurusan, gaji dan sebagainya dari 2013 hinggalah kini.
"Mereka dah sampai tahap Asia. Dah buktikan bahawa mereka boleh bersaing kelab-kelab terbaik Korea dan Jepun. Kita juga yang untung sebab kejayaan mereka akan membolehkan kelab-kelab tempatan yang lain bermain dalam Liga Juara-juara Asia (ACL) pada masa hadapan.
"Tapi kita semua perlu meningkatkan lagi usaha supaya dapat bersaing nanti. Jangan dah sampai ACL nanti lepas itu masih nak salahkan orang lain bila tak dapat bersaing dengan kelab kelab besar Asia," tulisnya di Facebook pada Jumaat.
JDT menjadi kelab bola sepak tempatan yang pertama layak ke peringkat kalah mati dalam saingan ACL.
Terdahulu, Muhammad Sanusi yang juga Menteri Besar Kedah pada 18 Mei lalu menyatakan rasa tidak puas hatinya selepas perlawanan antara Negeri Sembilan FC (NSFC) berdepan JDT di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, Negeri Sembilan.
Perkara itu ekoran masa tambahan selama 10 minit yang diberikan kepada JDT sehinggakan pasukan itu berjaya menjaringkan satu gol menewaskan NSFC dalam perlawanan pada 11 Mei lalu.
Susulan itu, Muhammad Sanusi telah menganggap keputusan pengadil itu sebagai sesuatu yang 'very rare'.
"Sebenarnya bola sepak ini bukan untuk individu, sebelum perlawanan, bawa banner besar tertulis 'fair play' tetapi ada tokong. Semua nak kena sembah tokong, nak kena tanya dia dulu jadi jenuh la nak main bola macam ini.
"Contoh berlaku satu kejadian luar biasa dalam kancah bola sepak apabila pengadil perlawanan telah memberikan tambahan masa 10 minit pada babak kedua perlawanan antara Johor Darul Ta'zim (JDT) dan Negeri Sembilan FC (NSFC) pada perlawanan sebelum ini," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram