TULAR di media sosial rakaman video seorang kanak-kanak terpaksa menahan kesakitan selepas kakinya dipercayai tertusuk tongkat basikal.
Menerusi rakaman itu, kelihatan dua anggota bomba memberi rawatan awal di lokasi dengan membalut kaki kanak-kanak malang itu.
Video ringkas berdurasi 10 saat itu dikongsikan oleh Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Alor Setar, Kedah di laman Facebook mereka pada Jumaat.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Alor Setar, Timbalan Penguasa Bomba II Ahmad Naufal Abdullah dilaporkan berkata, mangsa merupakan seorang kanak-kanak lelaki berusia sembilan tahun.
Katanya, pihak bomba menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu kira-kira pukul 7.54 pagi, pada Jumaat
Katanya, sebaik tiba di lokasi, tapak kaki kiri kanak-kanak terbabit tertusuk tongkat basikal yang diperbuat daripada besi dalam kejadian di Taman Mawar.
“Pasukan kami kemudiannya memotong tongkat basikal tersebut menggunakan peralatan khas sebelum memberi rawatan awal termasuk membalut kaki kanak-kanak itu.
“Mangsa kemudian dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) untuk rawatan selanjutnya menggunakan jentera Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS),” katanya
Selain video tersebut, BBP Alor Setar turut berkongsi gambar-gambar yang menunjukkan tongkat besi tersebut dilihat masih berada pada kaki kanak-kanak terbabit semasa dibawa ke hospital. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram