MB Kedah patut lapor FIFA dakwaan 'sembah tokong'


  • Podium
  • Jumaat, 20 Mei 2022

Muhammad Sanusi yang juga merupakan ahli gabungan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), menggesa agar isu 'sembah tokong' perlu ditangani dengan segera supaya ia tidak melarat.

KONTROVERSI membabitkan pasukan Johor Darul Takzim (JDT) masih tidak berkesudahan apabila muncul lagi kecaman terbaharu melibatkan mereka sejurus sahaja perlawanan menentang Sri Pahang FC ditamatkan dengan kedudukan 2-2 antara kelab itu.

Isu bermula apabila pengadil bertugas, Zuhaidi Dzulkifli memberikan sepakan penalti kepada Bergson Da Silva selepas penyerang berbisa JDT itu didakwa dikasari oleh pemain pasukan Sri Pahang FC, Hasnul Zaim pada pada minit ke-88 perlawanan.

Bukan pemain sahaja tampil meluahkan rasa tidak puas hati malah penonton di dalam dan luar Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri turut mencetuskan perbalahan selepas keputusan penalti yang diberikan pengadil kepada pihak tuan rumah pada Rabu.

gamel

Tangkap layar aksi Christopher Gamel menepuk tangan ketika pengadil menghadiahi sepakan penalti kepada Pahang ketika menentang JDT pada malam Rabu.

Lebih menarik di sebalik kehangatan perlawanan itu, Presiden Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA), Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor telah mengeluarkan satu kenyataan bahawa sukan bola sepak untuk semua dan bukannya individu tertentu sehinggakan ada yang perlu menyembah ‘tokong’.

Beliau turut memberikan contoh kepada kenyataannya itu iaitu ketika kejadian 'luar biasa' yang berlaku apabila pengadil memberikan tambahan masa 10 minit sewaktu JDT menentang Negeri Sembilan FC di Paroi, Negeri Sembilan.

Kenyataan Muhammad Sanusi pada sebuah akhbar itu mendapat perhatian dari warganet dan mereka berpendapat daripada beliau berbasa basi mendakwa isu menyembah tokong dalam bola sepak tempatan, adalah lebih elok Menteri Besar Kedah tersebut melaporkan kepada Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).

"Tak payahlah nak sibuk cakap pasukan lain. Kalau tidak puas hati lebih baik lapor dekat FIFA. Kalau lapor dekat FAM macam tiada jalan penyelesaian," ujar Mohamad Albab.

"Berat tuduhan tersebut..Kalau macam itu 'Tokong' dimaksudkan mampu mengawal perlawanan di peringkat ACL jugalah kan," kata pemilik akauan, Mohd Farhan Paan.

Tidak kurang juga ada yang mencadangkan Muhammad Sanusi untuk memberi lebih perhatian terhadap pasukannya iaitu Kedah Darul Aman FC kerana kebelakangan ini skuad Hijau Kuning itu tampil dengan prestasi kurang cemerlang.

"Bersainglah secara sihat buktikan kemampuan pasukan sendiri dulu. Tingkatkan kemudahan, padang, stadium, lebihkan tindakan daripada ucapan...jangan bersangka buruk kepada orang lain lebih-lebih lagi menuduh tanpa bukti..memberi komen negatif..berbincanglah secara ilmiah..berfikiran terbuka dan pandang ke hadapan demi kemakmuran bersama," komen Tuan Jebat.

"Pasukan sendiri pun kelaut. Isu gaji pun tak selesai. Modal tiada bahan JDT sajalah dia ini. Lepas ini ramai la pemain Kedah angkat kaki," kata Muhammad Rafie.

Terdahulu KDA FC terpalit dengan isu tunggakan gaji namun menurut Muhammad Sanusi dakwaan berkenaan adalah tidak benar.— Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram