KELIBAT penyerang import Kedah Darul Aman (KDA) FC, Dennis Buschening amat ditagih-tagih penyokong Hijau Kuning dalam meneruskan misi mencabar kejuaraan Liga Malaysia.
Walaupun Kedah ketika ini boleh menarik nafas lega dengan prestasi penyerang, Ronald Ngah Wanja yang digandingkan bersama Syafiq Ahmad, tetapi kerapuhan posisi pertahanan menjadi bualan sejak beberapa perlawanan terdahulu.
Ngah Wanja setakat ini sudah menjaringkan tujuh gol dalam aksi Liga Super, sekali gus meletakkannya sebagai penjaring terbanyak bersama penyerang Johor Darul Ta'zim (JDT), Bergson.
Syafiq juga tampil cemerlang untuk mencipta peluang dan mengucar-kacirkan pertahanan lawan setakat ini, tetapi kehadiran Dennis pastinya memberikan kelebihan taktikal buat pengendali, Aidil Sharin Sahak dalam formasi pemainnya.
Dennis menjadi pelengkap kuota Asean dan Piala AFC buat Kedah selepas menyertai kelab utara itu pada awal usim lalu.
Beraksi di posisi serangan, Buschening bukan lagi asing dalam kancah Liga M kerana beliau pernah bersama skuad Sabah pada musim 2020 sebelum menyertai skuad UiTM FC pada musim lalu.
Buschening menyertai skuad bawah 17 (B-17) Jerman seawal 2006 dan kemudian menyertai skuad remaja Borussia Dortmund bermula 2007 hingga 2008 selain pernah berada dalam Liga Thai bersama Buriram United pada 2013 hingga 2014.
Namun malang menimpa buat Dennis apabila terpaksa diketepikan untuk tempoh masa yang panjang akibat masalah kecederaan.
Pemain berkenaan mengalami kecederaan Achilles ketika beraksi dalam satu perlawanan pramusim.
Dennis memberitahu keadaan terkininya dan sedang menjalani proses pemulihan.
Sebelum ini, Dennis memberitahu Majoriti bahawa dia akan kembali beraksi sekurang-kurangnya dalam tempoh enam bulan akibat kecederaan itu.
Pemain berusia 30 tahun itu bagaimanapun memberi bayangan bahawa dia akan kembali lebih cepat jika proses pemulihannya berjalan lancar dengan mesej pada Facebook yang berbunyi, "Masa untuk kembali."
Ditanya bila paling awal dia akan kembali menyarung but, Dennis membalas ringkas,"Empat hingga lima bulan."
Walaupun dia mungkin terlepas kesemua aksi Liga Super dan Piala AFC, Dennis menunjukkan masih petanda positif bahawa dia akan dapat membantu Kedah dalam kempen Piala Malaysia memandangkan kejuaraan tersebut akan berlangsung sehingga bulan Disember.
Paling awal Dennis boleh beraksi semula dijangka pada bulan September yang mana menyaksikan kempen Liga Super berakhir dengan perlawanan menentang Terengganu FC pada 17 September jika tiada perubahan jadual.
Kedah juga akan memulakan kempen Piala AFC pada 24 Jun bagi peringkat kumpulan dan bergantung kepada kedudukan untuk layak ke pusingan seterusnya.
Saingan Piala Malaysia pula kebiasaannya akan bermula selepas kempen Liga Super berakhir dan Dennis berpeluang untuk membuktikan kemampuan dirinya dalam saingan piala berprestij itu jika kekal cergas. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram