Sang Kenari diberi kata dua, buang jurulatih dan 3 pemain import kalau kalah menentang Melaka


TIGA pemain import yang mahu dikeluarkan daripada pasukan KDA FC.

BOLOS empat gol dalam perlawanan menentang Sabah FC dan Selangor FC sudah cukup memeritkan hati penyokong Kedah Darul Aman FC (KDA FC).

Menjelang perlawanan dengan Melaka United pada Jumaat, kemenangan adalah wajib apatah lagi kedudukan pasukan itu jauh di bawah KDA FC iaitu di kedudukan ke-10 liga.

Namun, kerisauan penyokong apabila mengenangkan semula kekalahan besar KDA FC terus menghantui mereka dan ada yang mahukan perubahan segera dilakukan jika skuad Sang Kenari itu tewas lagi.

WhatsApp Image 2022-05-05 at 8.07.26 PM

Ronald Ngah (tengah) dilihat masih tumpul di bahagian serangan.

Seorang penyokong KDA FC, Azmi Ariffin berkata, harapan penyokong semestinya tidak mahu pasukannya beraksi seperti dalam perlawanan menentang Selangor FC dan Sabah FC.

"Harap-harap menang. Kalau main macam lawan Selangor dan Sabah nanti kena empat biji pula. Tapi, kalau kalah kali ini, jurulatih dan tiga pemain import sudah boleh dikeluarkan.

"Gantikan dengan mereka yang lebih baik. Kalau tiada, guna sahaja pemain tempatan. Biar kalah pun tak mengapa asalkan hati puas," katanya.

Seorang lagi penyokong, Man Brona juga menyatakan perkara sama supaya KDA FC dapat membuktikan kemampuan mereka menentang Melaka United pada perlawanan itu.

"Buktikan dalam perlawanan pada Jumaat. Jangan pening macam lawan dengan Selangor FC dan Sabah FC sudahlah.

"Tak perlu beralasan lagi dan cari momentum seperti JDT," katanya.

279490174_413730727254950_6046955447311720731_n

Kesebelasan utama yang diturunkan ketika KDA FC tewas 0-4 kepada Sabah FC.

Untuk rekod, ada tiga pemain import Kedah yang gagal menunjukkan persembahan konsisten dalam perlawanan iaitu Ronald Ngah, Marc Vales dan Dennis Buschening.

Ronald Ngah sehingga kini mendapat kritikan daripada penyokong kerana gagal menjadi pencetak gol manakala Buschening pula terlalu lama mengalami kecederaan.

Terdahulu, Ketua jurulatih Kedah, Aidil Sharin Sahak menganggap perlawanan dengan Melaka United di Stadium Darul Aman, Kedah adalah misi lepas geram.

"Beraksi di laman sendiri selepas memasuki bulan Syawal ini sudah pasti memberi tahap kecergasan dan keyakinan yang lebih baik buat semua pemain dalam usaha memastikan isu konsistensi tidak lagi berulang seperti sebelum ini.

"Kedah perlu memanfaatkan setiap ruang yang ada di laman sendiri kali ini dalam usaha mendapatkan mata penuh kerana itu sahaja yang akan memberi peningkatan terhadap momentum permainan ketika aksi liga dijangka akan semakin sengit selepas bersambung pada minggu ini.

"Saya yakin pemain sudah tidak sabar untuk bangkit semula dan kita harapkan semangat mereka juga akan melonjak bagi memastikan keupayaan pasukan berada pada tahap terbaik," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram