Super ejen Mino Raiola sah meninggal dunia


  • Podium
  • Sabtu, 30 Apr 2022

Mino Raoila disahkan meninggal dunia pada usia 54 tahun.

EJEN bola sepak berprofil tinggi, Mino Raiola telah disahkan meninggal dunia pada usia 54 tahun oleh ahli keluarganya.

Raiola adalah ejen yang mewakili bintang seperti Paul Pogba, Erling Haaland dan Zlatan Ibrahimovic.

Raiola dimasukkan ke hospital di Milan pada bulan Januari dan menjalani pembedahan kecil, tetapi ahli keluarganya enggan mendedahkan penyakit yang dialami ejen bola sepak itu.

"Mino berjuang sehingga nafas terakhir, sama seperti kekuatan yang ditunjukkannya untuk berunding bagi mempertahankan nilai pemain di bawahnya. Mino membuatkan kami bangga dan dia tidak pernah menyedarinya.

"Mino menyentuh banyak kehidupan dalam hasil kerjanya dan melakar babak baharu dalam sejarah bola sepak moden. Kewujudannya tidak akan dilupakan.

"Misi Mino adalah menjadikan bola sepak sebagai tempat yang lebih baik kepada pemain untuk meneruskan minat mereka.

"Kami berterima kasih kepada semua orang yang memberi sokongan semasa tempoh sukar dan memohon agar diberikan ruang kepada keluarga dan rakan pada waktu bersedih ini," tulis kenyataan ahli keluarga Raiola.

Pada Khamis, Raiola menafikan dakwaan kononnya dia telah meninggal dunia.

Satu ciapan di Twitternya menafikan dakwaan tersebut tetapi laporan SkySport menyebut dia kini sakit kritikal dan ditempatkan di sebuah hospital di Milan, Itali.

Raiola ialah 'ejen super', yang mewakili beberapa pemain bola sepak berprofil tinggi.

Antara kliennya dari dahulu hingga kini termasuk Ibrahimovic, De Ligt, Pogba dan Lukaku serta pemain seperti Mario Balotelli, Hirving Lozano, Henrikh Mkhitaryan, Moise Kean, Blaise Matuidi dan Lorenzo Insigne.

Figura yang dibesarkan di Belanda ini memulakan kerjaya dengan mengembangkan perniagaan restoran ibu bapanya.

Kerana tidak mempunyai peluang untuk menjadi pemain bola sepak profesional, Raiola dilantik sebagai pengarah sukan Haarlem pada usia 19 tahun selepas kelab itu begitu kagum dengan kemahiran keusahawanannya.

Seterusnya dia berpindah ke syarikat ejen sukan Sports Promotions dan membantu dalam pemindahan pemain bola sepak Belanda berprofil tinggi ke kelab Itali, termasuk pemain Ajax Bryan Roy (ke Foggia pada 1992), Marciano Vink (ke Genoa pada 1993), Wim Jonk dan Dennis Bergamp (ke Inter pada 1993) dan Michel Kreek (ke Padua pada 1994).

Tidak lama selepas itu, dia memutuskan untuk meninggalkan agensi sukan itu dan menubuhkan perniagaannya sendiri. Tugas pertamanya adalah menyelia pemindahan Pavel Nedved dari Sparta Prague ke Lazio berikutan prestasi cemerlangnya di Euro 1996.

Raiola berupaya bercakap dalam tujuh bahasa iaitu Itali, Inggeris, Jerman, Sepanyol, Perancis, Portugis dan Belanda.— Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram