Ramon kecewa, akhirnya setuju dengan penyokong Kedah


  • Podium
  • Selasa, 10 Mei 2022

Penyokong KDA FC kecewa dalam tujuh perlawanan saja, Kedah sudah bolos 14 gol dan hanya menjaringkan 10 gol.

SEBELUM ini, bekas jurulatih Kedah Darul Aman (KDA) FC, Ramon Marcote yakin dengan kemampuan skuad Sang Kenari untuk mencabar kejuaraan Liga Super.

Namun dengan kekalahan demi kekalahan yang dihadapi skuad kendalian Aidil Sharin Sahak mula menggoyahkan keyakinan penyokong Kedah terhadap keupayaan Sang Kenari menjelmakan trofi.

Ramon sebelum ini berkata, penyokong perlu bersabar dengan prestasi terumbang-ambing Sang Kenari buat masa ini.

Ini kerana katanya, Kedah berdepan musim baharu dengan ramai muka-muka baharu, sekali gus kadang-kala keadaan ini boleh menyebabkan sesebuah pasukan tidak dapat beraksi dengan konsisten.

"Apa yang saya lihat pasukan Kedah tidak mempunyai corak permainan yang jelas dan pemimpin yang berkualiti dalam skuad," katanya merujuk kepada sifat kepimpinan dalam pasukan kepada Majoriti baru-baru ini.

ramon

Sebelum ini, Ramon yakin dengan kemampuan KDA FC untuk mencabar kejuaraan Liga Super.

Namun nadanya berubah selepas kekalahan 2-3 Kedah kepada Melaka United yang menyaksikan skuad Hijau Kuning jatuh kedudukan keempat liga dengan 12 mata selepas tujuh perlawanan.

Ditanya tentang perlawanan tersebut, Ramon berkata, dia berasa kecewa dengan keputusan itu sedangkan Kedah mampu untuk memenangi perlawanan itu.

Dalam perlawanan menentang Melaka United pada Jumaat, KDA FC dua kali mendahului perlawanan menerusi Muhammad Syafiq Ahmad dan Ronald Ngah tetapi tewas menerusi jaringan minit akhir pasukan pelawat.

Melaka United hadir dengan tiga jaringan gol iaitu dua daripada Efedayo dan satu daripada Emanuel Otte.

Namun satu perkara yang pasti, Ramon bersetuju dengan penyokong yang menyuarakan kebimbangan terhadap prestasi Kedah ketika ini.

"Persembahan tidak menunjukkan kemajuan, dan paling membimbangkan corak permainan juga tidak berkembang," kata Ramon.

Penyokong Kedah sebelum ini juga berulang kali menyatakan cara permainan skuad Aidil tidak menunjukkan peningkatan terutamnya di bahagian serangan dan pertahanan.

Dalam tujuh perlawanan saja, Kedah sudah bolos 14 gol dan hanya menjaringkan 10 gol.

Di sebalik keresahan ini, Ramon tetap optimis Kedah mampu memperbaiki prestasi dan kembali ke landasan sebenar.

"Kedah akan kembali melakukan kebangkitan," katanya.

Ramon pernah berkhidmat sebagai jurulatih kecergasan untuk Kedah pada tahun 2015 di bawah kendalian Tan Cheng Hoe.

Malah Cheng Hoe pernah memberi kepercayaan kepada Ramon untuk memangku posisi ketua jurulatih skuad Hijau Kuning semasa beliau menyertai kursus kejurulatihan profesional bersama Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC).

Pada penghujung tahun 2017, Marcote secara rasminya dilantik menjadi ketua jurulatih Kedah yang kini dikenali sebagai Kedah Darul Aman (KDA) FC selepas Cheng Hoe dipanggil untuk membimbing skuad Harimau Malaya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram