Kedah patut buat 'U-Turn', dapatkan semula target asal sebelum Ronald Ngah


  • Podium
  • Selasa, 10 Mei 2022

Plazibat (jersi putih) merupakan penjaring terbanyak Lion City Sailors musim lalu dengan 14 gol, membantu pasukan itu menjuarai Liga Premier Singapura. — Agensi

PRESTASI naib juara Liga Super musim lalu, Kedah Darul Aman (KDA) FC dilihat terumbang-ambing sejak kebelakangan ini dengan siri kekalahan memalukan dalam beberapa perlawanan kebelakangan ini.

Dalam tiga perlawanan terakhir liga, KDA FC tewas 1-4 kepada Selangor FC, 0-4 kepada Sabah FC dan yang terbaru tewas 3-2 kepada Melaka United FC, menyaksikan pasukan yang pada mulanya dilabel sebagai pencabar utama Johor Darul Takzim itu kini semakin tertekan.

Antara individu yang sering menjadi kecaman penyokong adalah penyerang, Ronald Ngah Wanja yang tiba pada awal musim ini dengan reputasi tinggi sebagai penjaring terbanyak Liga Jordan 2021.

Namun, penyerang itu dilihat gagal memenuhi harapan tinggi para penyokong Sang Kenari yang kehilangan dua penyerang berbisa mereka, Tcehtche Kipre dan Kpah Sherman kepada Terengganu FC awal musim ini.

Walaupun berjaya menjaringkan empat gol dalam tujuh perlawanan setakat ini, gaya permainannya masih gagal memukau penyokong setia KDA FC yang sudah tidak sabar menunggunya mempamerkan kemampuan sebenar.

Pada awal musim ini, nama bekas penggempur berbisa Lion City Sailors, Stipe Plazibat menjadi tumpuan peminat tempatan apabila dikaitkan dengan beberapa kelab di Malaysia.

Antara kelab yang dikaitkan dengan penyerang yang berasal dari Croatia itu adalah KL City FC, Selangor FC, dan juga KDA FC.

Namun KDA FC lebih berminat dengan reputasi yang dimiliki Ronald Ngah dalam Liga Jordan musim lalu.

Jika dilihat pada bajet, KDA FC mungkin tiada masalah untuk membawa Plazibat ke Alor Setar kerana harganya nilainya lebih rendah daripada Ronald Ngah.

Laman Transfermarkt meletakkan nilai Plazibat sebanyak €250,000 (RM1.15 juta) manakala Ronald Ngah yang dibeli awal musim ini bernilai €400,000 (RM1.9 juta)

Plazibat mempunyai pengalaman yang luas di Asia dan pernah bermain di beberapa kelab di liga Thailand, Singapura dan Jepun.

Berdasarkan statistik, Plazibat muncul penjaring gol terbanyak Lion City Sailors dengan jumlah 14 jaringan dalam Liga Premier Singapura 2021, membantu kelab itu mencatatkan kejuaraan ketiganya.

Di samping itu, dia juga merupakan seorang pemain yang turut berkemampuan mencipta peluang gol dengan tujuh bantuan jaringan musim lalu.

Aksi cemerlangnya juga berjaya membuatkan namanya tersenarai dalam kesebelasan terbaik Liga Premier Singapura 2021.

Plazibat kini merupakan ejen bebas selepas kontraknya bersama kelab Liga Romania, Academica Clinceni tamat Mac lalu.

Menurut Malaysian Football League, tempoh pendaftaran pemain kedua musim ini bermula daripada 28 Mei hingga 24 Jun depan.

Tidak hairanlah, penyokong KDA FC pastinya berharap pihak pengurusan dapat membawa masuk seorang penyerang import berbisa pada tempoh tersebut bagi menyelesaikan masalah ketumpulan bahagian serangan.

Mungkinkah KDA FC akan membuat 'u-turn' untuk mendapatkan Plazibat semula?— Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram