PADA aksi perlawanan antara Kedah Darul Aman FC (KDA FC) dan Petaling Jaya City (PJ City) pada malam Selasa, penyerang skuad Sang Kenari, Ronald Ngah Wanja berjaya mencetak tiga gol.
Bagaimanapun, jaringan hatrik itu tidak dapat membantu skuad Hijau Kuning mengutip mata di Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) selepas PJ City menyamakan kedudukan pada minit-minit terakhir perlawanan yang menyaksikan keputusan seri 3-3.
Ronald Ngah mengakui keputusan itu bukanlah sesuatu yang dimahukan oleh barisan pemain Kedah yang beraksi di tempat lawan dalam saingan Liga Super itu.
Hantaran Instagram Story Ronald Ngah.
Perkara tersebut dinyatakan pemain import dari Cameroon itu menerusi satu hantaran di Instagram Story pada Rabu.
"Not the results we wanted (Bukan keputusan yang kami mahukan)," tulisnya.
Meskipun demikian, Ronald Ngah tetap bersyukur kerana berpeluang mencipta hatrik pertama pada perlawanan berkenaan.
"Grateful for my first hatrick. We keep fighting (Bersyukur atas hatrik pertama saya. Kami akan terus berusaha)," tulisnya lagi.
KDA FC terus keciciran dua mata sekali gus meleburkan hasrat skuad itu untuk merampas kedudukan teratas Liga Super daripada Negeri Sembilan FC.
Skuad kendalian Aidil Sharin Sahak itu hanya sekadar berpuas hati di kedudukan kedua dengan 13 mata setakat ini. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram