MENYANGKA KDA FC akan memberikan hadiah raya selepas kalah di tangan Sabah FC 0-4, rupa-rupanya hanya angan-angan selepas Sang Kenari itu tewas dengan Melaka United dengan keputusan 2-3 di Stadium Darul Aman, Alor Setar, Kedah.
Kekalahan demi kekalahan Kedah Darul Aman (KDA) FC yang dihadapi skuad kendalian Aidil Sharin Sahak itu sesungguhnya hanya menusuk luka penyokong skuad Hijau Kuning itu dan rata-ratanya berasa tidak puas hati dengan prestasi keseluruhan pasukan.
Tinjauan Majoriti, menunjukkan penyokong terlalu sakit hati dengan pasukan itu sehingga ada yang mengungkit pengorbanan mereka sebagai penyokong yang terpaksa menghabiskan wang, masa serta tenaga demi menyatakan sokongan terhadap KDA FC.
Pada Sabtu sahaja, lebih kurang 6,500 orang penyokong hadir demi pasukan kesayangan mereka dan salah satu daripadanya adalah Hamdan Siru yang berkongsi pengalaman menonton perlawanan tersebut.
Barisan pemain KDA FC ketika perlawanan menentang Melaka United.
"Kami sanggup tinggal rumah kenduri semata-mata nak tengok bola. Tengok pasukan kesayangan. Cari parking minit akhir dapat jauh. Lari-lari pergi beli tiket. Kena beratur panjang.
"Yang jual tiket pun lambat (tolong tengok ini) lambat sangat. Akhirnya, beli online. Masuk game dah 10 minit mula. Tidak sempat nak duduk Pak Ngah (Ronald Ngah Wanja) skor. Seronok rasa tapi separuh masa kedua sudah tidak ada arah," luahnya.
Meskipun berasa sangat kecewa dengan prestasi KDA FC yang seakan tidak pernah belajar dari kesilapan, namun penyokong itu tidak nafikan akan terus memberikan sokongan kepada pasukan Hijau Kuning itu.
"Tengok ada pemain yang tidak boleh main dah, kenapa tidak ditukar. Peram buat apa. Kami ini marah 2-3 hari saja. Selepas itu ada perlawanan, kami akan datang juga. Kecewa memang kecewa.
"Kalau permainan cantik terhibur juga. Ini dah kalah, game pun tidak ada. Harap lepas ini perbaiki kelemahan. Kalah menang kita tetap sokong. Tapi janganlah sampai main macam nak bagi kalah saja," katanya.
Dalam perlawanan menentang Melaka United pada Jumaat, KDA FC dua kali mendahului perlawanan menerusi Muhammad Syafiq Ahmad dan Ronald Ngah tetapi tewas menerusi jaringan minit akhir pasukan pelawat.
Melaka United hadir dengan tiga jaringan gol iaitu dua daripada Efedayo dan satu daripada Emanuel Otte. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram