KEJAYAAN membenam wakil Korea Selatan, Ulsan Hyundai pada Sabtu menyaksikan Johor Darul Takzim (JDT) layak ke pusingan 16 terakhir Liga Juara-Juara AFC (ACL) buat kali pertama dalam sejarah.
JDT bakal bertemu wakil Jepun, Urawa Red Diamonds pada pusingan 16 terakhir yang akan berlangsung sama ada pada 18 atau 19 Ogos ini di lokasi yang bakal ditentukan kelak.
Beberapa penyokong JDT mula tertanya-tanya sama ada teknologi video bantuan pengadil (VAR) akan digunakan pada pusingan tersebut.
"Maaf nak tanya, peringkat kalah mati ada VAR ke, sebab tengok kat YouTube pengadil guna VAR kalau peringkat ni... wallahualam," soal Ahmad Aidil di Facebook.
Untuk rekod, Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) sebelum ini mengguna pakai teknologi itu dalam saingan ACL bagi perlawanan peringkat suku akhir sehingga ke aksi final.
Sebilangan penyokong lain berkata, jika VAR digunakan, JDT tiada masalah untuk menambah teknologi itu sebelum pusingan tersebut berlangsung.
"Kalau ada penambahan VAR di Stadium Sultan lbrahim sebelum Ogos rasanya tiada masalah... duit saguhati dah cukup untuk pasang sistem VAR yang harganya sekitar RM650,000 sahaja," kata Afande Osman.
"Boleh dah SSI pasang VAR sebab dah dapat RM1.35 juta," ujar Azit Maslan Azit Maslan.
Menurut pihak AFC, setiap pasukan yang mencatatkan kemenangan di peringkat kumpulan akan menerima USD50,000 (RM217,744) dan seri pula akan menerima USD10,000 (RM43,548).
Selain itu, pasukan yang layak ke pusingan kalah mati 16 pasukan terbaik akan menerima bonus penyertaan sebanyak USD100,000 (RM435,488).
Pada peringkat kumpulan baru-baru ini, JDT mencatatkan empat kemenangan dan masing-masing satu seri dan kekalahan, justeru secara kasar, kelab itu sudah menerima sekitar RM1.35 juta. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram
