Teruk dikecam, Pak Ngah pilih waktu sesuai pujuk penyokong Kedah


  • Podium
  • Ahad, 01 Mei 2022

Mungkin Ronald Ngah masih belum bersedia untuk meninggalkan Kedah walaupun sudah ada desakan untuk dia berbuat demikian. — Facebook

PENYERANG import Kedah Darul Aman FC (KDA FC), Ronald Ngah Wanja yang menerima kecaman demi kecaman daripada peminat Sang Kenari gara-gara persembahan hambarnya setakat ini, sedar kemarahan penyokong terhadap prestasinya itu.

Dia yang mesra disapa Pak Ngah seolah-olah memperjelaskan kedudukannya yang sudah bermain sehabis baik sejak menjejakkan kaki di Stadium Darul Aman musim ini.

Dalam rakaman video ucapan khas Hari Raya Aidilfitri kepada penyokong skuad Sang Kenari, Ronald Ngah menyelitkan mesej ringkas kepada peminat bahawa dia dan barisan pemain lain sudah melakukan apa yang terdaya untuk menggembirakan penyokong skuad Hijau Kuning.

"Saya tahu situasi semasa agak sukar (buat Kedah). Tetapi kami adalah pemain dan kami dituntut untuk berikan yang terbaik dan cuba gembirakan peminat. (I know it has been so difficult with our result, but we are players, we are bound to give our best and try to make our fans happy). Selamat Hari Raya kepada semua penyokong Kedah," katanya dalam klip video itu.

Rakaman bertajuk Lebaran Eid Fitri KDA FC 2022 - Part 1 | LS Team itu dimuat naik di Facebook rasmi Kedah Darul Aman FC pada Sabtu.

Apa yang ada dalam benak fikiran pemain jersi nombor 18 itu hanya dia sahaja yang tahu. Hingga ke saat ini, dia masih memilih untuk mengunci mulut daripada tampil membuat kenyataan baik di laman sosialnya mahupun di mana-mana media.

Biarpun tidak cukup untuk memperjelaskan keadaan sebenar yang dihadapinya, kesediaan Ronald Ngah bersuara dalam rakaman tersebut menunjukkan dia masih mengharap sokongan serta kepercayaan daripada peminat.

Mungkin pemain dari Tito, Cameroon itu belum bersedia untuk meninggalkan Kedah walaupun sudah ada desakan daripada segelintir pemerhati dan peminat bola sepak tempatan untuk dia berbuat demikian jika persembahannya masih berada di takuk sama.

Mengambil semangat buang yang keruh dan ambil yang jernih, sambutan Aidilfitri kali ini diharap dapat membuatkan peminat melupakan seketika kekecewaan terhadap Ronald Ngah yang gagal menepati status sebagai penjaring terbaik Liga Jordan.

Diharapkan dia mampu bangkit dengan semangat dan keazaman baharu dalam perlawanan akan datang, sekali gus menutup mulut pihak-pihak yang mengkritik persembahannya yang dianggap tidak berbaloi dengan bayaran harga mencecah RM1.9 juta.

Untuk rekod, KDA FC bakal melayan kunjungan Melaka United di Stadium Darul Aman dalam aksi Liga Super pada 6 Mei depan.

Selain itu, skuad Lang Merah itu juga akan turun berdepan Terengganu FC di pusingan kedua Piala FA di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Kuala Terengganu, seminggu kemudian.

Kedah kini berada pada kedudukan ketiga liga dengan berkongsi 12 mata bersama pendahulu, Johor Darul Takzim yang masih kurang dua perlawanan, dan Sabah FC yang dipisahkan beza jaringan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram