Selangor umpama 'black sheep', Tok Gajah enggan lagi bermimpi ngeri


  • Podium
  • Jumaat, 29 Apr 2022

Perlawanan malam ini merupakan aksi kedua Liga Super yang sepatutnya berlangsung pada 8 Mac lalu namun ditunda ekoran pandemik Covid-19. — Facebook/Sri Pahang FC

MENGANGGAP pasukan Selangor FC bagaikan mimpi ngeri, Sri Pahang FC akui bimbang akan perlawanan yang bakal diadakan di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, Selangor pada Jumaat.

Ketua jurulatih Sri Pahang FC, Christophe Gamel dahagakan kemenangan ekoran rekod kurang baik berdepan Selangor FC dalam enam perlawanan lalu dan ia menjadi aspek paling dibimbangi buat pasukan itu.

Selain itu, beliau menganggap skuad Gergasi Merah itu adalah lawan yang sempurna dari semua segi dan pasti menyukarkan Sri Pahang dalam misi mencari kemenangan kedua berturut-turut di Liga Super.

“Selangor bagaikan pasukan ‘black sheep’ buat Sri Pahang kerana kami belum pernah menang dalam enam perlawanan yang terakhir.

“Jadi pasti sukar buat Sri Pahang tambahan Selangor pada musim ini tampak seimbang dari semua bahagian.

“Mereka merupakan pasukan yang berbahaya dalam situasi menyerang dan kami tidak boleh melakukan kesilapan mudah seperti mana dalam beberapa perlawanan lalu.

“Jika tidak, kami akan ditewaskan dengan mudah dan saya mahu semua pemain berikan fokus sepenuhnya serta cuba peragakan aksi bola sepak terbaik dalam misi memburu tiga mata penting,” katanya.

gamel

Gamel (tengah) menganggap Selangor adalah lawan yang sempurna dari semua segi. — Facebook

Berdasarkan rekod pertemuan enam terakhir di Liga Super, Selangor menang tiga dari enam perlawanan lalu manakala tiga lagi berakhir dengan keputusan seri.

Musim lalu, Selangor menang 3-1 pada perlawanan yang berlangsung di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya dan kedua-dua pasukan terikat 2-2 di Stadium Darul Makmur, Kuantan, Pahang.

24 Februari 2018 menjadi tarikh terakhir Sri Pahang menewaskan Selangor di pentas Liga Super dengan keputusan 3-1.

Dalam pada itu, Gamel mengharapkan penyokong Tok Gajah dapat terus berikan sokongan kepada penyerang, Mahmoud Za’tara walaupun dihujani kritikan atas persembahannya yang belum di tahap memuaskan.

“Ada peningkatan dari dia kerana berdasarkan persembahan dengan Penang, beliau telah banyak membantu dalam aspek bertahan dan saya masih percaya Za’tara seorang penyerang yang bagus.

“Mungkin dia terlepas dua atau tiga peluang terbaik bagi menjaringkan gol semasa berdepan Penang tetapi kita perlu terus berikan sokongan positif, bukannya kritikan yang boleh merendahkan lagi moralnya bersama pasukan,” katanya.

Namun, pada malam ini situasi sedikit kurang memihak pada Sri Pahang FC kerana dijangka turun berdepan Selangor tanpa pemain import dari Laos, Billy Ketkeophomphone, yang masih belum pulih daripada masalah kecederaan.

Perlawanan malam Jumaat merupakan aksi kedua Liga Super yang sepatutnya berlangsung pada 8 Mac lalu namun ditunda ekoran penularan pandemik Covid-19 yang melanda di kem Sri Pahang. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram