'Penang FC...biar kalah beradat jantan, jangan kalah menunduk sambil berlari'


  • Podium
  • Jumaat, 29 Apr 2022

Kekalahan Penang FC kepada Sri Pahang FC menyebabkan skuad itu berada di tangga tercorot liga dengan tiga mata selepas enam perlawanan. — Facebook/Penang FC

KEMELUT dalaman yang sedang membelenggu Penang Football Club (Penang FC) sememangnya menghadirkan perasaan gusar kepada penyokong setianya.

Baik daripada isu pengurusan, kelemahan taktikal hinggalah jurulatih, belum ada tanda-tanda isu itu akan diselesaikan dalam masa terdekat.

Seorang peminat skuad Sang Kumbang, Mohamad Afi Naiman berharap perkara itu akan menemui jalan penyelesaian sekali gus membawa Penang FC keluar daripada krisis tersebut.

"Pemain datang dan pergi, pengurusan pun orang bertukar-tukar. Penyokong sahaja dari dulu sampai sekarang setia.

"Walaupun kami marah, tapi tetap sayang kepada pasukan. Marah bukan pasal kalah, kalah tu dah sinonim dengan kami tapi biar kalah 'beradat jantan', jangan kalah 'menunduk sambil berlari', katanya di ruangan komen Facebook rasmi PFC.

Mohamad Afi berkata, penyokong Penang Panthers memahami situasi tegang yang dialami skuad kesayangan mereka itu.

"Kami pun faham, takkan kami nak demand Penang FC setaraf Johor Darul Takzim, walau hakikatnya itulah impian kami.

"Cukuplah sekadar bagi tentangan dan bagi sesuatu pada kami yang dari dulu, berpuluh-puluh tahun tak rasa nikmat tengok Penang FC main final (pusingan akhir) mana-mana piala.

"Buat yang terbaik...kami sentiasa ada. Football it's nothing without fans," tulisnya.

Terdahulu Penang FC dalam satu hantaran Facebook memaklumkan satu mensyuarat tergempar ahli lembaga pengarah Penang FC diadakan pada Khamis.

"Suara keluhan penyokong telah didengari, kemarahan mereka juga diambil peduli. Kebimbangan para penaja juga diberi perhatian.

"Selebihnya, keputusan yang drastik dan tegas telah diputuskan demi mengembalikan maruah lencana di dada.

"Mari kita sama-sama doakan kebangkitan semula Penang FC demi maruah negeri Pulau Pinang," tulisnya.

Kekalahan Penang FC kepada Sri Pahang FC pada Sabtu lepas menyebabkan skuad itu berada di tangga tercorot liga dengan tiga mata selepas enam perlawanan.— Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram