Atas nasihat PDRM, Penang FC 'rehatkan' Trucha


  • Podium
  • Sabtu, 30 Apr 2022

Trucha bukan direhatkan atau dalam proses diambil tindakan disiplin sebaliknya, hanya dalam proses perundingan penyelesaian yang adil. — Facebook

KETUA Jurulatih pasukan Liga Super Penang FC, Tomas Trucha dinasihatkan mengambil cuti rehat atas sebab-sebab keselamatan, dengan mengambil kira nasihat Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Pengurusan Tertinggi Penang FC Sdn Bhd dalam satu kenyataan berkata, hal itu berdasarkan bentuk kecenderungan kemarahan penyokong yang dikhuatiri boleh mendorong tindakan bersifat khianat jenayah daripada mana-mana individu yang kurang bijaksana dalam membuat apa-apa pertimbangan.

"Beliau bukan direhatkan atau dalam proses diambil tindakan disiplin. Hanya dalam proses perundingan penyelesaian yang adil dan ihsan yang melibatkan semua pihak berkepentingan.

"Pihak berkepentingan termasuk kepentingan penyokong Penang FC yang telah banyak mengeluarkan duit poketsendiri untuk datang ke stadium tempat sendiri dan stadium pihak lawan.

"Selain itu ialah pemegang kad bermusim dan ribuan pengguna merchandise Penang FC yang ada hak mereka untuk dilindungi sebagai 'pelabur' secara tidak langsung dalam pengukuhan dana syarikat (Kelab)," katanya di Facebook rasmi Penang Football Club pada Sabtu.

Sementara itu, mengenai sistem gaji yang telah dibentuk oleh kelab mulai Mei 2021, Pengurusan Tertinggi Penang FC Sdn Bhd berkata, ia bukan sahaja membolehkan pembayaran gaji dibuat secara teratur, malah membolehkan proses pembayaran gaji seawal 25hb.

Menurutnya, jika pun ada kelewatan, ia hanya disebabkan had pengeluaran sehari yang ditetapkan oleh pihak bank untuk membolehkan pelepasan secara 'bulk' dibuat berperingkat.

"Pembayaran ini termasuk pembayaran caruman KWSP, Socso dan potongan cukai pendapatan (PCB) bagi memastikan semua pegawai dan pemain mempunyai 'safety net' yang mencukupi untuk kerjaya berisiko tinggi ini.

"Pengurusan kewangan kelab juga melibatkan perbelanjaan yang efektif untuk pelbagai perkara sampingan berhubung perlindungan insurans semua warga kelab, kos penganjuran perlawanan di laman sendiri dan pelbagai aktiviti perolehan yang berintegriti," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram