MENJELANG Syawal hanya beberapa hari lagi, seluruh negara bagaikan tidak sabar untuk meraikan Aidilfitri bersama sanak saudara.
Mana tidaknya, sejak pandemik lebih dua tahun lalu kebanyakan keluarga merayakan hari lebaran dalam suasana serba sederhana.
Malahan, ramai yang tidak dapat shopping keperluan Aidilfitri atau pulang ke kampung kerana bimbang tindakan itu boleh mengakibatkan merebaknya Covid-19.
Bagaimanapun, kini dengan kelonggaran SOP susulan negara memasuki fasa endemik, suasananya ternyata berbeza.
Jalan-jalan utama sentiasa sesak, manakala pusat beli-belah penuh dengan pengunjung yang mahu berbelanja untuk meraikan Aidilfitri awal Mei ini.
Analisa daripada bilangan penunjung di 21 pusat beli-belah di seluruh negara yang dipilih secara rambang di mana ia beroperasi dalam kapasiti penuh sejak 22 April lalu.
Berdasarkan analisa Google Maps 'masa popular', bilangan pengunjung di Semantan Walk, Temerloh di Pahang merekod angka tertinggi sebanyak 45 peratus pada pukul 4 petang, 22 April lalu, berbanding masa sama pada hari Jumaat minggu sebelumnya.
Peningkatan ketara juga dapat dilihat di GM Klang Wholesale City, Selangor dengan 43 peratus diikuti Imago Shopping Mall di Sabah (+36 peratus) dan East Coast Mall Kuantan di Pahang.
Semua 21 lokasi mencapai 100 peratus trafik pada pukul 4 petang pada Sabtu, 23 April lalu.
Pada pukul 11.30 pagi Ahad, 24 April misalnya, hampir separuh lokasi sesak dengan pengunjung termasuk di East Coast Mall Kuantan, Imago Shopping Mall, Sabah dan Kompleks PKNS di Shah Alam Selangor.
Malahan rakyat Malaysia yang terperangkap kesesakan pada Jumaat (22 April) turut meluahkannya di media sosial dan keadaan bertambah teruk pada Sabtu.
Situasi lebih serius pada 23 April kerana lebih ramai keluar untuk membeli-belah untuk persiapan perayaan pada saat-saat akhir menjelang Aidilfitri sebelum pulang ke kampung halaman masing-masing.
Mohd Faizal Hassan (@f4izalhassan) pada Sabtu (23 April) tweet mengakui kesilapannya kerana menganggap kesesakan hanya berlaku di ibu negara sahaja.
"Seluruh negara mengalami kesesakan, orang ramai mengambil peluang cuti hujung minggu untuk membuat persiapan sebelum balik kampung minggu depan. Keterujaan untuk bersama keluarga di kampung selepas dua tahun tidak dapat meraikan bersama begitu jelas," katanya.
Rakyat Malaysia juga dijangka berdepan kesesakan di lebuh raya terutamanya mulai 29 April ini apabila masing-masing mahu pulang ke kampung.
Mengenai persiapan balik kampung, suri rumah, Nur Diyanah Zainuddin berkata, dia bersedia berdepan trafik sesak untuk pulang berhari raya di Johor Bharu.
"Perjalanan kami balik kampung sama ada Jumaat atau Sabtu tengah malam dan sememangnya menjangka akan terperangkap dalam kesesakan kerana Isnin ada cuti umum," kata wanita berusia 30 tahun ini.
Tambahnya, biasanya perjalanan ke kampungnya mengambil masa antara lima ke enam jam, bagaimanapun jarak dan masa lebih lama untuk pulang ke rumah keluarga suaminya di Terengganu.
"Kami memang jangka laluan ke Pantai Timur akan sesak sebelum Hari Raya pertama, sebab itu kami rancang untuk pulang ke Terengganu pada Hari Raya ketiga," katanya.
Nur Diyanah yang menetap di Lembah Klang berkata, dia akan membuat persiapan semua keperluan untuk mereka sekeluarga sepanjang perjalanan nanti seperti makanan, buku, mainan untuk anak-anaknya dan juga tisu basah.
Sementara itu, bagi perjalanan menggunakan laluan udara, harga tiket telah menunjukkan peningkatan sehingga lebih 200 peratus menjelang Aidilfitiri terutama ke destinasi popular seperti Langkawi, Kota Bharu dan Kota Kinabalu.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada 18 April telah memberi amaran kepada syarikat penerbangan supaya tidak mengaut keuntungan keterlaluan dengan menaikkan harga tiket ke Sabah dan Sarawak pada musim perayaan.
Susulan itu, Kementerian Pengangkutan telah mengumumkan penurunan 30 peratus harga tiket selepas Suruhanjaya Penerbangsan Malaysia (Mavcom) bersetuju untuk bertolak ansur pada musim perayaan ini.
Bagaimanapun, apa yang melegakan apabila kebanyakan individu yang balik kampung pada musim perayaan telah membuat persiapan dengan membeli tiket lebih awal bagi mengelak kenaikkan harga.
Penasihat Komunikasi, Annisa Mustika berkata, adalah penting untuk merancang perjalanan sempena Aidilfitri bagi mengelak membeli harga tiket yang mahal.
"Saya menempah tiket ke Kuching beberapa bulan lalu dan harga tiket dua hala adalah RM450 dan ia untuk perjalanan semasa musim perayaan," katanya yang berusia 32 tahun.
"Syarikat penerbangan tahu ianya musim perayaan dan orang ramai mahu pulang ke kampung masing-masing, jadi harga tiket tidak akan jadi murah.
"Saya pernah beli tiket penerbangan untuk harga lebih RM1,000 selepas memantau selama enam bulan dan nyata harganya tidak turun," katanya.
PLUS Malaysia Berhad (PLUS) menjangka dua juta pengguna lebuh raya akan balik kampung bermula 29 April hingga 9 Mei.
Sehubungan itu, pihak PLUS menempatkan 1,500 pembantu khidmat pelanggan (CSA) di plaza tol di lebuh raya bagi memastikan perjalanan lancar.
Susulan itu, PLUS menasihatkan pengguna lebuh raya di Lembah Klang yang akan pulang ke Perlis, Kedah, Penang, Perak dan Johor dari 29 April hingga 1 Mei supaya masuk ke lebuh raya sebelum pukul 10 pagi.
Bagi yang menuju ke destinasi berdekatan atau negeri lain adalah dinasihatkan supaya mula menggunakan lebuh raya selepas pukul 1 petang. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram