Sampai lima hari liputan pesalah tali gantung tapi berita wira negara dibunuh perusuh makin sepi


  • Massa
  • Ahad, 01 Mei 2022

Tangkap layar liputan siaran langsung Astro Awani terhadap upacara pengurusan jasad mendiang Nagaenthran.

LIPUTAN keterlaluan yang diberikan saluran media Astro Awani terhadap pengurusan jasad mendiang Nagaenthran Dharmalingam, seorang rakyat Malaysia yang menjalani hukuman mati di penjara Changi di Singapura pada Rabu, mendapat kritikan netizen.

Kecaman daripada pembaca timbul selepas Astro Awani memuat naik sedutan rakaman siaran langsung yang menunjukkan upacara perarakan jasad mendiang hingga selamat disemadikan dengan cara dibakar di Krematorium Buntong, di Ipoh pada Jumaat.

Liputan secara berlebihan itu dianggap seolah-olah mengagung-agungkan pesalah jenayah.

Seorang pengguna Facebook, Roy Saravanan meninggalkan komen supaya Astro Awani memberi liputan berita kepada topik lain kerana sudah jemu membaca artikel berkaitan mendiang Nagaenthran Dharmalingam.

"Hey Astro Awani, come on laa..kenapa sejak lima hari lalu, tak habis-habis berita ini. Agak-agaklah.

"Saya biasa baca komen sahaja tetapi you buat saya taip komen kat sini. Ya, sedih memang sedih tapi dia buat salah besar. Harap hentikanlah. Lagi berapa hari nak raya. Harap tolong buat liputan topik lain. Terima kasih," katanya.

Komen yang ditinggalkan Roy Saravanan itu mendapat 471 tanda suka setakat 10 malam Sabtu.

"Harap wartawan Awani teruskan kemas kini perkembangan di alam barzakh juga, kami memang ikut rapat kisah ni..," kata Khairul Izan pula.

WhatsApp Image 2022-04-30 at 6.44.10 PM

Antara komen yang ditinggalkan netizen terhadap liputan siaran langsung Astro Awani. — Facebook

Seorang lagi pengguna Facebook, Mohd Azam meninggalkan mesej bergambar terhadap kematian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim yang dianggap tidak mendapat pembelaan sewajarnya.

"Dia tidak mati di tali gantung, tetapi dibunuh perusuh, bukan sebab bawa dadah tetapi demi negara.

"Dan sehingga kini kematiannya tidak dibela, berita mengenainya juga semakin sepi," tulis mesej dalam gambar tersebut.

Nagaenthran dijatuhi hukuman mati pada 2010 kerana mengedar 42.72 gram heroin ke Singapura pada 2009, yang diketahui antara negara yang mempunyai undang-undang narkotik paling tegas di dunia.

Dia sepatutnya dihukum gantung pada 10 November 2021, tetapi memperoleh penangguhan sementara pada 9 November selepas mahkamah diberitahu dia positif Covid-19, ketika hadir untuk percubaan rayuan terakhir terhadap hukuman matinya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram