BUKAN sahaja Malaysia, fenomena balik kampung selepas dua tahun tidak dibenarkan ekoran pandemik Covid-19 turut dirasakan di Indonesia.
Malah, kesesakan jalan raya sehingga 10 kilometer dilaporkan berlaku melibatkan beberapa laluan keluar dari ibu kota Jakarta.
Sama seperti di Malaysia, tradisi pulang ke kampung yang dikenali sebagai mudik itu bertambah meriah selepas kerajaan Indonesia melonggarkan sekatan perjalanan rentas negeri selama dua tahun sebelum ini.
Malah, rakaman dron juga menunjukkan yang barisan kereta terpaksa bersesak di kedua-dua belah laluan tol di lebuh raya utama di luar Jakarta.
Rakaman dron yang menunjukkan kesesakan jalan keluar dari ibu kota Jakarta. — Agensi
Penumpang juga mula memenuhi stesen kereta api dan bas untuk pulang ke kampung halaman.
“Seronok dapat berjumpa keluarga kerana sudah dua tahun kami tidak dapat pulang,” kata Tri Wahyuni, 24, yang menunggu di stesen kereta api Pasar Senen di Jakarta untuk menuju ke kampung halamannya di Lampung di pulau Sumatera.
Awal bulan ini, Presiden Joko Widodo berkata, data menunjukkan sekurang-kurangnya 79 juta rakyat Indonesia berhasrat pulang untuk Aidilfitri tahun ini.
Sejak dua tahun lalu, negara majoriti beragama Islam terbesar di dunia itu bergelut dengan salah satu kadar jangkitan Covid-19 tertinggi di Asia.
Sebagian daripada rakyat Indonesia yang menggunakan pengangkutan awam untuk pulang ke kampung. — Agensi
Sejak beberapa bulan lalu, beberapa sekatan mula dibuka selepas jangkitan baharu kes Covid-19 mula menunjukkan penurunan.
Bagaimanapun, sesetengah penduduk masih memilih untuk berhati-hati dengan risiko Covid-19 walaupun jumlah individu lengkap divaksin lebih tinggi berbanding kes jangkitan baharu.
"Semoga pada masa akan datang tiada lagi Covid-19. Semoga kita dapat pulang setiap tahun," kata Sri Suyanti, 35, seorang lagi penumpang tren yang menunggu bersama anak-anak perempuannya. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram