KELANTAN United FC merapatkan jurang dengan pendahulu Liga Premier, Kelantan FC selepas bangkit daripada ketinggalan dua gol untuk membenam Perak FC 3-2 pada perlawanan di Stadium Perak pada Rabu.
Penyerang import dari Nigeria, Njoku Jacob meledak hatrik dalam perlawanan itu, termasuk sepakan penalti pada minit ke-88, untuk membantu Kijang Hijau melakar kemenangan kedua berturut-turut selepas menewaskan UiTM FC, pada Sabtu.
Namun, di sebalik kejayaan mengutip tiga mata penuh, terdapat kontroversi timbul apabila sepakan penalti tersebut didakwa tidak sah selepas seorang pemain Kelantan United FC dilihat memasuki kotak penalti sebelum Jacob menyentuh bola.
Menurut bekas Pengerusi Jawatankuasa Pengadil Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Subkhiddin Mohd Salleh, gol itu tidak sepatutnya diberikan.
Jelasnya, dalam situasi yang mana serbuan dilakukan oleh pemain pasukan yang mengambil sepakan penalti, sepakan harus diambil semula jika gol dijaringkan manakala jika sepakan tersebut diselamatkan atau tersasar, pengadil harus memberikan sepakan percuma tidak terus kepada pasukan yang mengambil sepakan penalti.
"Ia adalah berdasarkan Laws of the Game (Undang-Undang Permainan) yang diterbitkan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA)," katanya kepada Majoriti.
Dalam aksi tersebut, Perak mendahului 2-0 menerusi jaringan penyerang, Aqil Hilman Daniel Roslan seawal minit keempat, sebelum pemain pertahanan Muhammad Nazmi Ahmad menggandakan gol pada minit ke-11.
Jacob akhirnya menjadi watak pemusnah buat anak buah Yusri Che Lah dengan dua jaringan pantas pada minit ke-20 dan 24 bagi mengikat kedudukan 2-2, sebelum meledak gol kemenangan serta melengkapkan jaringan hatrik menerusi sepakan penalti pada minit ke-88. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram