Skor lawan Villarreal, Mane bongkar rejim baharu Liverpool sepanjang Ramadan


  • Podium
  • Khamis, 28 Apr 2022

Mane (kanan) meledak satu gol semasa membantu Liverpool membenam cabaran Villarreal 2-0 dalam aksi separuh akhir pertama Liga Juara-Juara awal pagi tadi. — Agensi

SADIO Mane cukup gembira dengan pendekatan Liverpool terhadap pemain beragama Islam kelab itu sepanjang tempoh Ramadan tahun ini, menyatakan bahawa The Reds telah berusaha keras untuk memenuhi segala keperluan mereka.

Demi memastikan pemain Liverpool tidak merasakan sebarang kesan buruk kerana berpuasa, The Reds gembira untuk menukar rejim sistem latihan dan pemakanan mereka untuk memastikan Mane dan rakan sepasukannya yang beragama Islam lain seperti Mo Salah dan Naby Keita berada dalam keadaan terbaik.

"Ia bukan mudah kerana bermain dan berlatih serta melakukan Ramadan bukanlah mudah sama sekali," jelas Mane kepada beIN Sports.

“Tetapi sebelum Ramadan kami cuba bercakap dengan kapten (Jordan Henderson) dan beritahu bos (Jurgen Klopp) mungkin boleh tukar jadual? Kami berlatih pada waktu pagi. Ia lebih mudah untuk kita. Jika anda berlatih pada waktu pagi maka anda mempunyai masa untuk berehat dan pulang ke rumah.

“Ia akan menjadi sukar jika berlatih pada waktu petang. Mereka kemudiannya berkata ya dan saya rasa itu memudahkannya. Kami cuba melakukan yang terbaik.

“Hari perlawanan juga berbeza tetapi aksi ketika Ramadan menjadikannya lebih sukar. Liverpool cuba memudahkan segalanya untuk kami. Kami bercakap dengan pakar pemakanan kami, terutamanya sebelum perlawanan dan dia melakukan segala-galanya dengan lebih mudah untuk kami," beritahu Mane.

Mane jelas menjadi tonggak harapan Liverpool apabila mencetak nama selaku salah seorang penjaring semasa menewaskan Villarreal 2-0 dalam aksi separuh akhir pertama Liga Juara-Juara awal pagi Khamis di Anfield, sekali gus membawa bekalan selesa dari segi agregat ke tempat lawan minggu depan. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram