KIRA-KIRA seminggu saja lagi sebelum acara bola sepak di kejohanan Sukan SEA 2021 di Hanoi, Vietnam membuka tirainya, namun persiapan skuad negara dilihat seakan-akan masih ala kadar.
Pada 16 April lalu, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengeluarkan senarai 31 pemain yang mendapat panggilan ke Kem Latihan Pusat Skuad B-23 Kebangsaan menjelang kejohanan tersebut.
Namun, pada sesi latihan pertama di Wisma FAM, Kelana Jaya pada 19 April lalu, hanya lima pemain yang hadir, manakala setakat Selasa pula, hanya 17 pemain yang sudah berlatih bersama.
Jumlah itu ternyata masih sedikit jika dibandingkan dengan keseluruhan 31 pemain yang dipanggil.
Perkara itu ternyata membangkitkan kemarahan peminat bola sepak tempatan yang dengan persiapan 'separuh masak' anak buah Brad Maloney.
"Lawak apakah... seminggu baru 14 orang... macam ni punya persiapan, macam exam lagi dua minggu tapi baru baca bab satu, muka surat lima.
"Taktikal entah ke mana, chemistry entah ke mana. Nasiblah kau labu bawah pengurusan FAM, dari dulu sampai sekarang sama saja. Yang misi, misi, misi... tapi tindakan haprak," kata Hidayat Mustakim.
"Vietnam B-23, Indonesia B-23 semua dah banyak kali buat friendly sejak bulan lepas. Malaysia berkumpul untuk latihan pun masih tak lengkap.
"Dah tahu tahun ni sibuk dengan tournament... kenapa liga tak nak mula awal? Punyalah ramai dalam FAM tu... apa punya planning. Tak ambil iktibar ke kalah AFF B-23 hari tu?" kata Muhamad Alfa Ghazali.
Pada kejohanan AFF B-23 Februari lalu, skuad negara pulang awal dari bumi Kemboja selepas dimalukan dua kali kepada Laos.
Pada temasya Sukan SEA kali ini, Malaysia diundi dalam kumpulan B bersama-sama Thailand, Kemboja, Singapura dan Laos. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram