BEKAS pemain kebangsaan, Datuk Jamal Nasir menyifatkan pengurusan kelab bola sepak negara sebagai tidak profesional kerana enggan melepaskan pemain-pemain yang dipilih mewakili skuad kebangsaan.
Menurutnya, tindakan itu menyebabkan pemain-pemain terbaik kebangsaan tidak dapat menyertai pasukan dengan lebih awal dan persiapan skuad negara terganggu.
"Bagi saya pengurusan di Malaysia ini kebanyakannya tidak berfikir tentang skuad kebangsaan. Mereka hanya pentingkan prestasi pemain. ketika mewakili kelab.
"Ini yang menyebabkan persembahan pemain ketika mewakili skuad kebangsaan tidak begitu menyerlah," katanya ketika mengulas mengenai persiapan skuad bola sepak Sukan SEA negara yang masih belum lengkap sehingga kini kepada Majoriti.
Dakwanya, terdapat beberapa pengurusan kelab yang turut 'mengugut' pemain mereka untuk menamatkan kontrak sekiranya mengalami kecederaan ketika mewakili negara.
Tambahnya, situasi itu menyebabkan para pemain berbelah bahagi ketika bermain bersama skuad kebangsaan.
"Apabila terjadi begini, rasa bangga untuk mewakili negara dalam kalangan pemain masa kini kian pudar. Mereka lebih memikirkan prestasi bersama kelab kerana kelab-kelab inilah yang membayar gaji mereka. Main untuk negara mana dapat gaji.
"Bila mentaliti dah jadi macam ni, sukar untuk ubah kecuali pemain itu sendiri yang mahu berubah. Tetapi para pemain juga ada keluarga untuk disara, jadi mereka tiada pilihan lain selain fokus lebih kepada kelab," ujarnya.
Acara bola sepak Sukan SEA bakal membuka tirai pada 6 Mei ini.
Malaysia diundi dalam kumpulan B bersama-sama Thailand, Singapura, Laos dan Kemboja. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram