KAPTEN Johor Darul Takzim (JDT), Farizal Marlias tidak sabar membalas sokongan penyokong setia Harimau Selatan apabila turun menentang Guangzhou FC dalam Kumpulan I Liga Juara-Juara AFC (ACL) 2022 di Stadium Sultan Ibrahim pada Rabu.
Selepas menampilkan permulaan memberangsangkan dengan menang ke atas Guangzhou dan Ulsan Hyundai, kekalahan kepada Kawasaki Frontale pada Ahad lalu menyebabkan juara Liga Super lapan kali itu menduduki tempat kedua kumpulan, satu mata di belakang pendahulu.
Keadaan itu memaksa JDT untuk wajib menang ke atas Guangzhou bagi mencerahkan peluang untuk melayakkan diri ke pusingan kedua.
“Ia adalah keputusan yang sangat teruk, saya tak boleh nafikannya. Ia bukan mudah kerana kami masih mengalami kekalahan yang menyakitkan.
“Tetapi secara peribadi, sepanjang saya di sini, walaupun saya mengalami saat paling rendah dalam kerjaya dengan kecederaan, namum kelab, rakan sepasukan, dan terutamanya peminat sentiasa membela saya.
"Peminat telah berada di belakang kami sejak awal lagi jadi kami mesti turun dengan keyakinan untuk mendedikasikan kemenangan yang padu kepada mereka,” kata penjaga gol utama Malaysia itu.
Walaupun pengendali JDT, Benjamin Mora berkongsi cita-cita kaptennya itu, beliau menjangkakan pasukan Guangzhou yang lebih bertenaga dan lebih berazam daripada perlawanan sebelum ini.
“Ia tidak akan mudah kerana kami tahu Guangzhou akan bermain dengan blok pertahanan rendah. Ramai pemain mereka akan berada di belakang bola.
“Dan anda mesti ingat bahawa mereka akan bermain untuk memelihara reputasi mereka. Mereka pastinya mahu bolos dengan jumlah jaringan yang sedikit. Kita perlu bermula dengan baik dan mengambil peluang yang datang. Kami tidak boleh memikirkan Ulsan atau Kawasaki, kami hanya perlu menumpukan perhatian pada perlawanan kami," katanya.
Sementara itu, rakan sejawatnya, Pan Yonghe, akan menggunakan pendekatan yang lebih seimbang dan imaginatif buat barisan pemain mudanya, dan sedar bahawa pasukannya berkemungkinan menjadi skuad Guangzhou FC pertama yang tidak pernah menjaringkan gol dalam aksi kumpulan ACL.
"Kami telah mengkaji video dan sudah tentu, kami sentiasa mencari cara untuk melepaskan kurang gol, untuk membina blok pertahanan yang lebih tersusun tetapi pada masa yang sama, kami juga harus meningkatkan permainan keseluruhan kami.
“Sudah tentu, kami juga mahu bermain lebih baik di bahagian serangan, tetapi saya boleh memberi jaminan kepada anda bahawa pemain saya sentiasa berfikir untuk menyerang lawan, mereka semua sudah lapar untuk mendapatkan gol.
“Kami bersedia untuk terus berjuang, lebih selesa dalam permainan kami dan memastikan peningkatan berterusan dari satu perlawanan ke perlawanan seterusnya," katanya. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram