PLUS cadangkan mula perjalanan balik kampung sebelum 10 pagi dan selepas 1 petang


  • Primer
  • Ahad, 24 Apr 2022

Plus menjangka dua juta kenderaan sehari yang menggunakan lebuh raya sempena perayaan Aidilfitri kali ini.

PENGGUNA lebuh raya Plus Malaysia Berhad (PLUS) disaran mematuhi jadual Cadangan Waktu Perjalanan (TTA) Balik Kampung dan Pulang ke Bandar sempena perayaan Aidilfitri bermula 29 April hingga 9 Mei ini.

Ketua Pegawai Operasi PLUS, Datuk Zakaria Ahmad Zabidi berkata, TTA bertujuan mengagihkan trafik dan mengelakkan kesesakan daripada memasuki lebuh raya secara serentak di laluan-laluan utama lebuh raya, plaza tol dan kawasan rawat dan rehat (R&R), sekali gus mengurangkan kesesakan.

Beliau berkata, pihaknya menjangka dua juta kenderaan, iaitu peningkatan sebanyak 25 peratus berbanding 1.6 juta kenderaan sehari yang menggunakan lebuh raya memandangkan ini adalah kali pertama selepas dua tahun menjalani Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Kami menggesa dan menasihatkan pelanggan lebuh raya untuk mematuhi jadual perjalanan TTA yang dikeluarkan bagi merancang perjalanan Balik Kampung dan Pulang Ke Bandar," katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Bagi perjalanan dari Lembah Klang untuk balik kampung beraya pada 29 April hingga 2 Mei ini menuju ke destinasi lebih jauh seperti Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak (Utara) dan Johor dinasihatkan memasuki lebuh raya lebih awal iaitu sebelum jam 10 pagi.

Sementara itu, bagi yang menuju ke lokasi yang lebih dekat atau ke negeri-negeri lain dinasihatkan untuk memasuki lebuh raya selepas jam 1 tengah hari.

Jadual perjalanan pulang ke bandar bagi kembali ke Lembah Klang pada 5 hingga 9 Mei daripada Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak (Utara), Johor dan lain-lain negeri, pelanggan lebuh raya dinasihatkan supaya memasuki lebuh raya sebelum jam 9 pagi.

Screenshot 2022-04-24 131017

Jadual TTA yang dikeluarkan oleh PLUS.

Berdasarkan kajian, Zakaria berkata, perjalanan kembali semula ke Lembah Klang, pelanggan lebuh raya dijangka mengalami tempoh perjalanan yang lebih panjang sekiranya mereka memilih untuk tidak mematuhi jadual TTA.

"Pelanggan lebuh raya dari Utara ke Lembah Klang, mereka dijangka akan mengalami tempoh perjalanan sehingga 10 jam atau dua kali lebih panjang daripada purata tempoh perjalanan sekiranya memasuki lebuh raya selepas jam 9 pagi.

"Bagi tempoh perjalanan dari Selatan ke Lembah Klang pula bakal mencecah sehingga tujuh jam atau dua kali lebih panjang berbanding purata tempoh perjalanan sekiranya memasuki lebuh raya pada masa yang sama iaitu selepas jam 9 pagi." katanya.

Plus juga menasihati pelanggan supaya mematuhi peraturan lalu lintas, memandu dengan berhemah, dan pastikan kenderaan dalam keadaan baik supaya selamat sampai ke destinasi.

Pelanggan boleh mendapatkan maklumat trafik terkini menerusi Twitter @PLUSTrafik, Aplikasi PLUS, talian PLUSLine 1800-88-0000, Chatbot PUTRI, papan tanda elektronik (VMS) di lokasi-lokasi terpilih serta mengikuti laporan trafik terkini menerusi siaran-siaran radio utama negara. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram