Model kewangan Liga M sekat kelab bertanding capai kelestarian, keuntungan


  • Podium
  • Khamis, 21 Apr 2022

Kos bagi setiap pasukan yang bertanding di Liga Super dianggarkan minimum sebanyak RM10 juta setahun, manakala bayaran kepada kelab yang bertanding hanya RM3 juta.

KESUKARAN kelab-kelab bola sepak di Liga Malaysia (Liga M) untuk menarik penaja dan pasaran liga yang tidak begitu besar merupakan antara punca beberapa pasukan berdepan dengan masalah kewangan dan isu tunggakan gaji.

Seorang pemerhati bola sepak tempatan, Sayf Ismail berkata, model kewangan dalam ekosistem bola sepak di negara ini tidak membolehkan sesebuah kelab mencapai kelestarian mahupun keuntungan.

"Kos untuk bermain dan bertanding bagi sebuah pasukan dalam Liga Super pada tahap gaji sedia ada dianggarkan minumun RM10 juta setahun.

"Namun, potensi untuk menjana pendapatan tidak mencapai RM10 juta. Ini dapat dilihat dengan bayaran daripada MFL (Malaysian Football League) kepada setiap pasukan hanyalah RM3 juta setahun. Mana nak cari lagi RM7 juta?

"Adakah sesebuah kelab mampu menjana pendapatan daripada kutipan jualan tiket yang agak hambar dan murah serta menarik penaja untuk mencapai RM7 juta setahun?" katanya kepada Majoriti.

Beliau yang merupakan bekas Ketua Jabatan Pemasaran & Tanggungjawab Sosial Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) turut berpendapat bahawa pasaran penajaan di negara ini masih belum cukup besar untuk menaja 12 pasukan Liga Super sebanyak RM7 juta setahun.

Katanya, MFL yang dipenuhi pengurusan profesional juga turut bertungkus lumus mencari penaja melalui aset paling besar mereka iaitu hak penyiaran, yang hanya mampu menjana RM3 juta untuk setiap pasukan.

Beliau turut berpendapat bahawa masalah tunggakan gaji yang sering berlaku dalam Liga Malaysia adalah berpunca daripada gaji pokok yang terlalu tinggi.

"Masalah ini akan berterusan setiap tahun sehingga ekosistem bola sepak mampu mejana penajaan RM7 hingga 10 juta setahun untuk setiap pasukan.

"Tak kiralah sama ada penajaan datangnya dari pihak kerajaan negeri atau swasta, model kewangan liga adalah tidak lestari dan akan menyebabkan ada saja pasukan yang berdepan masalah tunggakan gaji setiap tahun," katanya.

Tambah beliau, kos untuk bertanding harus diturunkan kepada RM6 hingga 7 juta setahun bagi memberi peluang kepada kelab untuk bertanding tanpa masalah dan kerjasama harus dilakukan bersama MFL untuk menaikkan kualiti nilai komersil liga secara kesuluruhan.

Katanya, MFL dan pengurusan kelab harus berbincang cara untuk menurunkan kos bertanding tahunan.

"Sekiranya tidak, isu gaji tidak dibayar akan terus berterusan dan liga akan dikuasai oleh pasukan yang mempunyai dana yang besar," ujarnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram