TUNGGAKAN gaji yang melanda Perak FC terus masih belum menemui jalan penyelesaian selepas rundingan pengambilalihan kelab itu yang sepatutnya dijadualkan minggu lalu tidak berlaku.
Bekas penyerang The Bos Gaurus, Khalid Jamlus mendakwa, rundingan tersebut gagal kerana pemilik Perak FC, Impact Media & Communications Sdn Bhd (IMC) enggan menyerahkan kelab itu kepada syarikat yang berminat, sebaliknya cuba mencari pembeli lain.
"Pihak yang nak ambil alih tu dah ada... IMC dan satu satu syarikat lain dah buat perjanjian dua minggu lalu tetapi setakat ini perjanjian itu sentiasa tertunda.
"IMC masih sedang cuba untuk mencari syarikat lain bagi menggantikan syarikat sedia ada ini yang mahu mengambil alih," katanya dalam satu siaran langsung di TikToknya.
Beliau kemudian mendakwa, IMC enggan menyerahkan Perak FC kepada pihak tersebut kerana bimbang disingkirkan dari kelab itu.
"Syarikat yang nak ambil alih ni kenal siapa IMC, mereka cukup matang dan tahu pergerakan IMC, mereka datang bukan mahu selamatkan IMC, tetapi Perak FC," katanya.
Khalid Jamlus ketika bersiaran langsung di TikToknya.
Tambah beliau, IMC masih sedang berusaha untuk mencari syarikat lain yang sudi membeli Perak FC sebelum hukuman lanjut daripada Malaysian Football League (MFL) dilaksanakan selepas 21 April.
Pada 15 April lalu, Malaysian Football League (MFL) melaksanakan pemotongan enam mata kepada kelab itu, selepas tiga mata ditolak pada 1 April.
Jika tunggakan gaji masih tidak dapat diselesaikan menjelang 21 April, MFL akan bermesyuarat untuk menentukan nasib Perak FC dengan risiko digugurkan daripada liga menjadi salah satu kemungkinan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram