'Balik-balik muka sama jadi jurulatih Sri Pahang'


  • Podium
  • Isnin, 18 Apr 2022

Pasukan Sri Pahang gagal meraih sebarang kemenangan dalam tiga perlawanan Liga Super setakat ini. — Facebook/Sri Pahang

MASA depan ketua jurulatih Sri Pahang FC, Christophe Gamel menjadi tanda tanya selepas kelab itu gagal meraih sebarang kemenangan dalam tiga perlawanan Liga Super setakat ini.

Pasukan itu juga seolah-olah terkena 'sumpahan pengadil' apabila majoriti keputusan pengadil tidak memihak kepada Sri Pahang setakat ini.

Difahamkan, Gamel bakal direhatkan susulan prestasi hambar Sri Pahang dan tempatnya bakal digantikan oleh bekas jurulatih yang pernah mengendalikan skuad Tok Gajah sebelum ini.

Nama yang disebut-sebut oleh para peminat Sri Pahang adalah Dollah Salleh.

Dollah tidak asing bagi Sri Pahang apabila pernah beraksi bersama pasukan itu pada era 90an dan turut menjadi ketua jurulatih Tok Gajah dari 2017 hingga 2021.

Cuma apabila menjengah ruangan komen di media sosial, pelbagai reaksi dilontarkan oleh para peminat Sri Pahang termasuk jika melantik semula Dollah.

"Balik-balik muka yang sama saja jadi jurulatih. Apa yang teruk sangat dengan pengurusan Sri Pahang.

"Elok pengurusan itu saja tukar. Tak habis-habis kena tipu pasal pemilihan pemain import.

"Dok tidur lagi ke?" kata pengguna Facebook, Ahmadi Madi.

Dollah disebut-sebut sebagai pengganti Gamel.

Menurut pengguna Facebook, Joey Abidin, punca prestasi hambar Sri Pahang tidak sewajarnya diletakkan di bahu Gamel sahaja.

"Bukan salah jurulatih. Pemain tak ada rasa tanggungjawab bermain dengan penuh kesungguhan.

"Belajarlah dengan PJ City, ada pemain import ke?" katanya.

Bagi pengguna Facebook, Issy Issy, pihak pengurusan Sri Pahang perlu diberikan kepada orang lain bagi memajukan semula bola sepak kelab berkenaan.

"Pihak pengurusan Sri Pahang sukar untuk ditukar. Sampai tahun depan pun begini juga Sri Pahang.

"Sedih lihat pemain yang berkaliber boleh meningkat naik, jadi sama seperti pemain amatur. Kerana keletihan berjuang tapi tewas," ujarnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram