KEMELUT membabitkan pasukan Perak FC sejak bulan lalu terus mendapat perhatian para penyokong.
Pasukan yang pernah berada di kemuncak kegemilangan arena bola sepak tempatan, kini seolah-olah menanti detik untuk rebah.
Simpati dengan nasib para pemain Perak FC, kelab penyokongnya melancarkan tabung sumbangan untuk membantu kelab tersebut baru-baru ini.
"Saya harap pemilik baharu ini dapat beri duit, bantu pasukan. Gaji pemain dibayar, lagipun dah nak raya.
"Kutipan kami setakat ini kira-kira RM20,000 tapi syukur, ramai yang membantu. Setiap hari ada saja sumbangan yang diterima oleh kami.
"Ada wakil rakyat membantu. Ada juga para peminat pasukan lain turut hulurkan sumbangan.
"Malahan bekas-bekas pemain Perak, Pulau Pinang dan Selangor juga memberi bantuan," kata sumber dalaman kelab penyokong Perak FC kepada Majoriti.
Perak FC berdepan masalah tunggakan gaji sejak Disember. — Facebook Perak FC
Pada Isnin, Gabungan Persatuan Penyokong Bolasepak Perak (TBG Mobs Perak Fans Club) menyasarkan kutipan sebanyak RM1.7 juta untuk membantu menyelesaikan kemelut kewangan yang dihadapi Perak FC.
Setiausaha Kehormatnya, Hakimi Halim berkata, jumlah itu mampu dicapai sekiranya setiap rakyat di negeri ini menderma RM1 seorang dalam tempoh empat hari sehingga 21 April.
"Adalah sesuatu yang amat malang bagi pasukan Perak FC yang menyambut ulang tahun ke-100 tahun lalu diturunkan takhta liga.
"Jika tersingkir dari saingan Liga Malaysia (Liga-M), ia adalah sesuatu yang amat malang bagi kita termasuk akan beri kesan kepada perkembangan bola sepak di negeri Perak sendiri," ujarnya baru-baru ini. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram