PADA perlawanan Liga Premier antara Perak FC dan Kelantan FC Sabtu lalu, penyokong The Bos Gaurus memberi sumbangan wang kepada pemain akibat masalah tunggakan gaji yang dihadapi kelab itu.
Sumbangan itu diberikan oleh seorang wakil penyokong Perak FC kepada pemain di dalam stadium selepas perlawanan berakhir.
Namun sebahagian peminat bola sepak tempatan merasakan bahawa kutipan derma seperti itu tidak patut dilakukan dan seharusnya menjadi tanggungjawab mutlak pihak pengurusan.
Ada yang berpendapat bahawa derma yang dilakukan oleh penyokong hanya akan membuatkan banyak lagi pihak pengurusan berasa selesa dan mengambil sikap tidak endah dalam pembayaran gaji.
"Ya memang kesian, player tiada gaji. Tapi sebab ada ‘fans donation’ inilah, management tak pernah sedar, takkan berubah. It’s okay, nanti fans tolong. Tak apa, nanti penyokong buat tabung," kata pengguna Twitter, @AdeqAnba.
"Kita memang sokong bola sepak tapi aktiviti derma kilat dari fans tidak patut berlaku kerana orang berjawatan di persatuan dah cukup buncit makan duit rakyat" kata @madajiq25 pula.
Sementara itu, sebahagian peminat pula sudah mula muak dengan penglibatan pihak-pihak tertentu yang mempolitikkan bola sepak sehingga menyebabkan pemain dan pegawai pasukan menjadi mangsa.
Ramai yang merasakan bahawa pihak-pihak ini menyebabkan sukan bola sepak di Malaysia tidak maju.
"Sudah-sudahlah politikkan bola sepak, ingatlah pemain pun ada keluarga nak bagi makan, cukuplah kotor dengan politik luar jangan jatuhkan martabat bola sepak kami, bagilah orang yang ada ilmu bola sepak pegang," kata @shahmianuar.
"Betapa jahanamnya bola sepak kalau ditadbir oleh kepala-kepala bodoh politik. Semoga satu hari nanti, bola sepak Malaysia tiada campur tangan politik dan juga ‘tangan ghaib’," ujar @mffayyadh.
"Bola sepak ini sukan rakyat. Bila dapat di tangan mereka yang berkepentingan, maka hancurlah ia. Punyalah sayang rakyat dekat pasukan kebanggaan mereka. Semoga hancurlah mereka yang merosakkan sukan rakyat ini," kata @RentakaPuaka pula.
Gabungan Persatuan Penyokong Bolasepak Perak (TBG Mobs Perak Fans Club) dalam satu kenyataan pada Isnin berkata, pihaknya menyasarkan kutipan sebanyak RM1.7 juta untuk membantu menyelesaikan kemelut kewangan yang dihadapi Perak FC.
Pada 15 April lalu, Malaysian Football League (MFL) melaksanakan pemotongan enam mata kepada kelab itu, selepas tiga mata ditolak pada 1 April.
Jika tunggakan gaji masih tidak dapat diselesaikan menjelang 21 April ini, MFL akan bermesyuarat untuk menentukan nasib Perak FC dengan risiko digugurkan daripada liga menjadi salah satu kemungkinan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram