PEMAIN Perak FC dituntut lebih bijak mengawal emosi di padang bagi mengelak dilayangkan kad kuning atau merah pada setiap perlawanan Liga Premier selepas ini.
Menurut pengendali Perak FC, Yusri Che Lah, penggantungan perlawanan yang dikenakan selepas menerima kad kuning atau merah akan memberi kesan terhadap perancangan taktikal pasukan.
Malah jelas Yusri, situasi itu akan menambahkan lagi kesulitan kepada The Bos Gaurus yang sememangnya ketika ini berdepan dengan masalah pemain yang agak terhad.
“Saya mohon kepada pemain supaya sentiasa berjaga-jaga kerana jika berlaku penggantungan kita juga yang akan mengalami kerugian.
“Ini berdasarkan situasi semasa pasukan yang sememangnya tidak cukup pemain dan bila ditambah lagi dengan perkara-perkara macam ini (penggantungan) akan tambah merugikan pasukan kita.
“Oleh itu kena kawal emosi dalam keadaan tertentu bagi mengelakkan kerugian akibat digantung perlawanan,” katanya sejurus tamat perlawanan pada Sabtu.
Perak FC tewas 1-3 pada perlawanan Liga Premier biarpun menjaringkan gol pendahuluan menerusi Nazmi Ahmad pada minit ke-21 bagi memimpin babak pertama perlawanan.
Bersambung babak kedua, anak buah Rezal Zambery Yahya kembali lebih bertenaga apabila Nurshamil Ghani menyamakan kedudukan di minit ke-48 diikuti jaringan Syed Sobri (66') sebelum Nurshamil tampil jaringan ketiga pada minit ke-70 bagi mengesahkan kemenangan 3-1 pelawat.
Dalam pada itu, kedua-dua pasukan terpaksa bermain dengan 10 pemain apabila pemain Kelantan FC, Danial Hadri Effendi Jagan dilayangkan kad merah diikuti pemain Perak, Royyizat Daud pada minit ke-42 perlawanan.
Pada masa sama, Yusri berharap para pemain bersedia untuk mengharungi dua lagi aksi Liga Premier iaitu berdepan Johor Darul Takzim (JDT) II sebelum berdepan Kelantan United di Stadium Perak.
Katanya, kedua-dua perlawanan itu merupakan aksi yang cukup getir buat skuad kendaliannya itu dan tambahan pula ia melibatkan tempoh rehat yang singkat.
“Kita akan mengharungi dua perlawanan berdepan dengan JDT pada 23 April 2022 diikuti Kelantan United (27 April 2022) yang saya sifatkan sebagai perlawanan yang mencabar bagi Perak FC.
“Apa pun, semua pemain tetap akan beraksi bagi mengharungi saingan pusingan pertama ini,” katanya. — Sinar Harian
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram