'Lima aksi berturut-turut tukar pasangan, Dechi Marcel tetap tenang'


  • Podium
  • Selasa, 19 Apr 2022

Pemain Kedah, Dechi Marcel semakin disayangi peminat Sang Kenari musim ini. — Facebook/Kedah Darul Aman FC.

PEMAIN tengah Kedah Darul Aman FC, Dechi Marcel merupakan antara pemain yang dilihat terus konsisten dalam mempamerkan aksi lincah di ruang tengah dan merupakan individu penting dalam menghidupkan banyak gerakan menyerang dan situasi bertahan skuad gergasi utara tanah air itu.

Pemain import kelahiran Ivory Coast itu baru sahaja bersama dengan pasukan Hijau Kuning untuk musim ini tetapi sudah berjaya menambat hati peminat KDA FC yang menganggap Marcel sebagai pemain yang memberi impak pasukan.

Bagi pengguna Facebook, Don K-Rul Izham berkata, komitmen yang diberikan Marcel dalam mengemudi barisan tengah KDA FC sepanjang lima perlawanan Liga Super musim 2022 sangat disukai oleh para peminat Sang Kenari.

"Terus terang lah, ketika Marcel mewakili UITM FC dulu memang tidak pernah tengok gameplay dia sekalipun tapi ketika Kedah bertemu TFC, baru aku sedar pemain ini mempunyai teknik agak baik.

"Lima perlawanan berturut-turut Marcel bertukar pasangan tapi dia tetap tenang. Ini menunjukkan kualiti, ketenangan serta kesedaran dia miliki sangat tinggi. Bukan senang kita nak serasi dengan satu-satu pemain ni," katanya.

Malah, peminat KDA FC berkenaan turut memuji sikap Marcel yang tenang ketika mengawal bola semasa perlawanan dan pemain itu turut berjaya membina keserasiannya dengan mana-mana rakan sepasukannya.

Baginya, Marcel boleh menjadi rujukan ataupun pemain contoh untuk pemain tempatan mahupun import terutamanya individu yang bermain di posisi tengah.

dechi

Marcel (kiri) ketika beraksi bersama TFC musim lepas. — TFC

"Mungkin pengalaman dia beraksi lima tahun di bumi Malaysia ni sedikit sebanyak membantu Marcel cepat serasi tapi apa yang aku tekankan adalah kebolehan dia boleh jadi pembelajaran kepada pemain tempatan.

"Harap-harap pemain tempatan terutama pemain posisi midfield boleh belajar sesuatu dari Marcel ini. Marcel menunjukkan saiz bukan ukuran tapi bagaimana kemahuan seseorang pemain dapat membantu diri mereka untuk menjadi seorang jeneral tengah padang," tambahnya.

Untuk rekod, Marcel sebelum ini turut pernah bermain bersama pasukan Terengganu FC sebelum berpindah ke pasukan Hijau Kuning musim ini. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram