SINAR baharu yang diharapkan buat Perak FC nampaknya tidak kunjung tiba apabila pengambilalihan kelab itu yang dilaporkan sepatutnya berlaku masih belum muktamad.
Sebelum ini, laporan mengatakan bahawa pemilik Perak FC, Impact Media & Communications Sdn Bhd (IMC) bakal menyerahkan kelab itu kepada JR Resources pada Rabu.
Para peminat yang teruja tertanya-tanya apa yang berlaku dengan proses pengambilalihan tersebut, kerana sehingga kini masih tiada pengumuman rasmi oleh kelab itu.
Mengulas lanjut mengenai pengambilalihan tersebut, sumber dalaman kelab penyokong Perak FC mendedahkan pihaknya sudah menghubungi IMC namun gagal mendapatkan respons.
Memetik laporan media terdahulu, pengambilalihan itu sepatutnya berlangsung pada pagi Rabu.
Tetapi entah mengapa sebabnya, ia masih belum dimuktamadkan sehingga artikel ini ditulis.
Perak FC berdepan penggantungan lesen berkuatkuasa Khamis sekiranya masih gagal melunaskan tunggakan gaji kepada para pemain dan kakitangan kelab itu.
Pada 15 April lalu, Malaysian Football League (MFL) melaksanakan pemotongan enam mata kepada kelab itu, selepas tiga mata ditolak pada 1 April.
Jika tunggakan gaji masih tidak dapat diselesaikan menjelang 21 April, MFL akan bermesyuarat untuk menentukan nasib Perak FC dengan risiko digugurkan daripada liga menjadi salah satu kemungkinan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram