KEMENANGAN Johor Darul Ta'zim (JDT) ke atas kelab bola sepak dari Korea Selatan, Ulsan Hyundai 2-1 pada Isnin bukan sahaja mengujakan penyokong, tetapi juga pengendali JDT, Benjamin Mora.
Mora berkata, dia rasa hampir tidak percaya dengan kemenangan itu apatah lagi mereka bukanlah gergasi bola sepak di Asia mahupun di Liga Juara-Juara Asia (ACL).
"Kita hanya sebuah pasukan yang berjaya menyertai ACL sebanyak empat kali yang mahu mencatatkan perkembangan bagi setiap penyertaan. Itu adalah objektif utama kami.
"Kemenangan ke atas Ulsan Hyundai adalah satu perkembangan yang sangat baik kerana kami dapat tewaskan pasukan yang besar. Saya sangat berbangga dengan pemain," katanya.
Dalam pada itu, Mora berkata, buat masa ini dia mahu fokus kepada pemulihan dan emosi pemain untuk aksi seterusnya.
Jelasnya, apa yang dicapai adalah sesuatu yang baik tetapi pemain perlu sedar yang pertandingan masih belum selesai.
"Ini baru permainan ke dua. Kita ada empat lagi perlawanan dan fokus adalah sesuatu yang sangat diperlukan.
"Kalau kita boleh capai kejayaan pada hari ini (Isnin), saya pasti kita boleh buat yang lebih baik untuk perlawanan seterusnya," katanya.
Terdahulu, perlawanan menentang Ulsan Hyundai yang diadakan di Stadium Sultan Ibrahim, Johor, menyaksikan skuad JDT menjaringkan gol seawal minit ke tiga menerusi Fernando Forestieri.
Gol penyamaan dijaringkan pemain gantian Ulsan Hyundai, Um Wong San pada minit ke 52.
Pada minit ke 80 perlawanan, skuad Harimau Selatan akhirnya bertemu jaringan kemenangan menerui jaringan Bergson Da Silva. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram