Lebih 200 jadi mangsa pasangan tipu urus niaga emas libatkan transaksi RM3 juta


  • Tular
  • Rabu, 27 Apr 2022

Syarikat pelaburan emas diusahakan pasangan suami isteri gagal melangsaikan perjanjian dengan pembeli emas, meskipun wang pelaburan selesai dibayar. — Gambar hiasan

DIDALANGI sepasang suami isteri yang berpangkalan di Kuantan, Pahang, urus niaga emas yang dijalankan pasangan ini didakwa mengakibatkan ratusan individu berdepan masalah.

Semuanya berikutan syarikat pelaburan emas yang diusahakan pasangan itu gagal melangsaikan perjanjian dengan pembeli emas walaupun wang yang dilaburkan telah dijelaskan pihak terbabit.

Dengan kata mudah, wang dibayar tetapi barang yang diurusniaga tidak diterima sepenuhnya.

Salah seorang mangsa, Seri Andani Malaya Khairul Saleh, 32, berkata, pasangan itu sepatutnya mengembalikan RM3 juta kepada semua 250 ahli yang menyertai pakej pelaburan syarikat terbabit.

Katanya, ada ahli lain turut menanggung kerugian sebanyak RM24,000, RM80,000 dan lebih daripada RM170,000.

"WhatsApp masih aktif kerana nombornya masih online, cuma dia tak balas dan bila call tak angkat. Setakat ni dia tak dapat dikesan. Bukan sahaja kami malah saudara maranya juga ditipu mencecah ratusan ribu ringgit," katanya kepada Majoriti.

Tambah Seri Andani, sebelum ini pasangan itu menetap di Sungai Isap, Kuantan tetapi sekarang rumah yang didiami telah dikosongkan.

Malahan, katanya, jiran pasangan itu memaklumkan ada lori datang mengangkut barang-barang dalam rumah berkenaan.

Ditanya mengenai laporan polis, kata Seri Andani, dia masih belum membuat laporan polis, namun ada antara ahli-ahli lain yang telah berbuat demikian.

Katanya, terdapat dakwaan bahawa pihak polis tidak boleh bertindak terhadap pasangan terbabit kerana mereka bukan penjenayah membuatkan dia serta mangsa lain terkesan.

"Kalau polis biarkan orang macam ni, akan datang ramai lagi akan jadi mangsa. Saya nak minta tolong siapa lagi kalau polis tak dapat buat apa-apa," katanya yang turut sertai kumpulan WhatsApp mangsa pasangan itu.

Katanya lagi, pernah salah seorang daripada mereka mahu melantik peguam dengan mengumpul RM50 setiap seorang untuk mengendendalikan kes itu.

Namun, kes tergendala apabila mereka terpaksa membayar RM12,800 bagi peringkat kedua kos guaman.

"Kami semua tak mampu. Ada yang kata setuju tapi yang tak setuju memang betul-betul tak ada duit nak bayar walaupun setiap seorang kena bayar RM833.

"Jadi, stop (tergendala) macam tu je lah. Tak tahulah nak buat macam mana," jelasnya yang masih berharap pihak polis dapat melakukan sesuatu untuk menyelesaikan kes berkenaan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram