SARAWAK United FC (SUFC) akan beraksi tanpa empat tonggak ketika menentang Terengganu FC (TFC) dalam aksi Liga Super pada Ahad selepas mereka disahkan dijangkiti Covid-19.
Kelab itu dalam satu kenyataan pada Ahad mengumumkan bahawa Alan Lagang, Norman Angkun, Lee Changhoon dan Boris Kok terpaksa disisihkan pada aksi itu selepas positif hasil ujian calitan yang dilakukan baru-baru ini.
"SUFC kehilangan beberapa pemain utama untuk perlawanan menentang Terengganu FC malam ini (Ahad) iaitu Alan Lagang, Norman Angkun, Lee Changhoon dan Boris Kok yang disahkan positif Covid-19 hasil ujian calitan yang dijalankan baru-baru ini.
"Kesemua yang dijangkiti sedang menjalani kuarantin kendiri dan mematuhi segala SOP yang telah ditetapkan oleh pihak yang berwajib," menurut kenyataan itu.
Jelas kenyataan itu, beberapa staf dan pegawai pasukan turut disahkan positif.
"Pihak pengurusan mendoakan semoga mereka diberi kesembuhan dan akan kembali bersama-sama pasukan dalam masa terdekat," katanya.
Perlawanan antara SUFC dan TFC dijadualkan berlangsung pada jam 9.15 malam di Stadium Sarawak.
SUFC ketika ini menduduki tangga kedua tercorot liga, di atas TFC yang kurang dua perlawanan, selepas hanya meraih satu mata daripada empat perlawanan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram